Jumaat, 13 Oktober 2017 | 11:35am
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero mungkin akan diturunkan menentang Stoke City, malam esok. - Foto AFP

Aguero mungkin kembali beraksi temu Stoke

MANCHESTER: Sergio Aguero mungkin akan kembali cergas untuk diturunkan ketika Manchester City memburu kemenangan ke atas Stoke City, malam esok untuk mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang yang kini hanya dipisahkan satu gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman The Citizens itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk apabila teksi yang dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Rentetan itu, doktor pasukan Argentina, Donato Villani menegaskan Aguero perlu berehat selama enam minggu, namun kini sudah pun kembali menjalani latihan bersama City.

Bagaimanapun City enggan terburu-buru kerana kelab itu sedar risiko yang bakal dihadapi pemain berkenaan jika belum pulih sepenuhnya.

Jika Aguero tidak dapat diturunkan, City pastinya mengharapkan Gabriel Jesus kembali menemui sentuhan selepas kemarau jaringan dalam tiga aksi ketika pemain Brazil itu berjaya meledak gol untuk negaranya pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Pemain tengah City, Ilkay Gundogan menegaskan siapa pun bermain di posisi serangan, Stoke tetap akan memberikan tentangan sengit.

"Saya tahu, menentang Stoke tidak akan menjadikan kami berasa selesa," kata Gundogan.

"Kami perlu bermain dengan cara sendiri kerana kami mahu kekalkan prestasi terbaik ini selama mungkin."

Enam gol dalam lima perlawanan sepanjang September lalu menyaksikan Aguero kini sudah pun menjaringkan 176 gol buat City, kurang satu gol lagi untuk menyamai jumlah yang dilakukan Eric Brook pada 1928 hingga 1939. - AFP

433 dibaca
Berita Harian X