Joran

Joran » Berita

Pendaftaran Karnival Memancing Bank Rakyat-Joran hari ini

Oleh Osman Lisut

LEPAS: Ketua Wilayah Utara Bank Rakyat, Mohd AzmirMohd Nasirudin (depan) bersama pegawai kanan bank itu dan kakitangan Kelab Golf Darulaman, melepaskan 4,000 ikan di tasik itu selasa lalu.
LEPAS: Ketua Wilayah Utara Bank Rakyat, Mohd AzmirMohd Nasirudin (depan) bersama pegawai kanan bank itu dan kakitangan Kelab Golf Darulaman, melepaskan 4,000 ikan di tasik itu selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Pelanggan dan anggota Bank Rakyat, disarankan membuat pengesahan terlebih dulu di kaunter khas bank berkenaan sebelum mendaftar di kaunter Joran di Taman Tema Tasik Darulaman, Jitra pada 10 dan 11 April ini.

Ia bertujuan bagi memastikan kesahihan peserta sebagai pemegang akaun Bank Rakyat, sekali gus membolehkan mereka mendapatkan potongan sebanyak 50 peratus bagi yuran pendaftaran Karnival Memancing Bank Rakyat-Joran 2008.

Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mizal Hasbullah, berkata setiap peserta yang disahkan sebagai pelanggan Bank Rakyat akan diberi kupon potongan 50 peratus yang perlu diserahkan kepada petugas Joran Berita Harian.

“Hanya mereka yang menyerahkan baucer berkenaan layak menikmati kemudahan itu dengan membayar RM40 untuk sebatang joran. Bagi peserta yang tidak mempunyai akaun, mereka boleh membukanya dengan mengunjungi kaunter khas Bank Rakyat itu yang diaktifkan secara online dan sekali gus turut menikmati potongan 50 peratus.

“Langkah itu juga memudahkan Bank Rakyat memantau keahlian pemegang akaun bank berkenaan dan mengenal pasti pelanggan baru di zon Utara,” katanya kepada Joran.

Mizal berkata, bagi tujuan itu Bank Rakyat menyediakan sebanyak 500 kupon untuk diagihkan kepada pelanggan dan anggotanya, yang kemudian dikembalikan kepada petugas bank berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Pelanggan dan anggota bank itu tidak perlu bimbang sekiranya mendaftar lambat kerana mereka juga layak untuk menikmati kemudahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang tidak mahu membuka akaun, boleh mendaftar terus ke kaunter Joran dan dikenakan bayaran RM80.

“Berita Harian masih mengekalkan sistem pendaftaran berkomputer menggunakan MyKad dalam usaha menuju ke arah penggunaan teknologi maklumat (IT) sepenuhnya. Ia juga mengelakkan pendaftaran bertindih atau kehilangan maklumat pemancing,” katanya.

Tasik Darulaman, mempunyai ukur lilit sepanjang 2.5 kilometer dan mampu memuatkan kira-kira 3,000 pemancing dalam satu-satu masa. Bagi Karnival Memancing Bank Rakyat-Joran 2008, sebanyak lima zon akan dibuka bagi memudahkan peserta mengesahkan tangkapan oleh marsyal bertugas sebelum diminta menghantarnya bersama marsyal bermotosikal ke meja hakim untuk ditimbang.

Pemancing juga diminta mematuhi syarat dan peraturan pertandingan, termasuk dilarang menggunakan umpan usus haiwan, umpan tiruan, kail mata tiga bagi tujuan teknik sembat, yang menyaksikan tangkapan mereka tidak layak dipertandingkan.

Penganjur juga berhak membatalkan penyertaan seseorang sekiranya didapati cuba melakukan penipuan atau melanggar peraturan pertandingan dan yuran tidak akan dikembalikan.

Peserta juga dilarang memasuki kawasan memancing sehari sebelum pertandingan dan hanya dibenarkan berbuat demikian pada hari pertandingan. Ini bagi mengelakkan terdapat peserta yang tidak bertanggungjawab menambat ikan di tepi tasik untuk diserahkan kepada marsyal.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.