Joran

Joran » Berita

Siakap menari di Sungai Tiram

Oleh Zahari Jaafar

TUMPAS: Siakap putih milik Man.
TUMPAS: Siakap putih milik Man.

KOTA TINGGIi: Siakap putih menjadi buruan utama di kalangan kaki pemancing. Spesies itu banyak mendiami muara sungai dan tebing sungai yang ditumbuhi hutan bakau. Kebiasaannya, ia aktif mencari makanan ketika air bergerak pasang.

Sungai Tiram yang bersambung dengan Sungai Kota Tinggi adalah lokasi yang sesuai untuk memancing spesies ini. Seorang kenalan penulis iaitu Wan Amilidin dari di Pasir Gudang, adalah pakar dalam menjejak siakap putih.

Baru-baru ini, beliau bersama Man dan Deja sepakat memburu spesies berkilat ini. Bot gentian kaca digunakan untuk menjejaki lubuk di sepanjang sungai sehingga ke muara. Umpan terbaik digunakan ialah udang hidup yang boleh dibeli daripada pembekal atau dijala sendiri.

Jam 7 pagi, mereka ada di jeti untuk memulakan misi. Sebanyak 30 ekor udang hidup dibawa dalam bekas khas dalam bot. Wan Amildin berkata, cara terbaik memancing siakap putih ialah tanpa menggunakan ladung. Tali utama diikat kepada ‘swiwel’ manakala perambut diikat terus kepada swiwel ini.

Lontaran dibuat ke arah kawasan yang berpotensi iaitu reba kayu. Apabila lontaran dibuat, udang dibiarkan berenang bebas. Selepas itu, karauan perlahan-lahan dilakukan. Jika ada siakap putih sudah pasti udang itu akan disambar.

Apabila sampai di kawasan sungai berselekoh, masing-masing segera melontar udang hidup. Wan Amildin yang memang cekap memburu siakap, segera membuat sentapan apabila udang hidup beliau dilarikan. Joran 20 paun beliau membengkok diasak oleh ikan. Beliau yang berpengalaman luas dengan tenang melayan mangsa.

Setelah 15 minit bertarung akhirnya seekor siakap putih 6.8 kilogram (kg) ditewaskan menggunakan Shimano Technium Stradic 2500. Rakan lain terus bersemangat melontar udang hidup, Umpan Deja disambar mangsa tetapi rabut. Ini mungkin angkara siakap kecil yang selalu membuat kacau.

Lubuk kedua dilawati. Kali ini Man terlebih dulu dipaksa bertahan apabila beliau asakan siakap putih kedua. Kelihatan mangsa beberapa kali melompat ke udara dalam usaha untuk melepaskan diri. Kalau sudah rezeki tidak ke mana. Seekor siakap putih 5.6kg menjadi milik pemuda dari Rawang ini.

Deja yang berada di bahagian hadapan pula menewaskan seekor siakap putih tetapi saiznya cuma 2.5kg. Setelah beberapa berpindah sehinggalah ke muara sungai, sebanyak tujuh siakap putih ditewaskan. Selain siakap putih, ikan tebal pipi dan kakap merah juga banyak mendiami di sepanjang sungai itu.

Justeru, peluang ke Sedili dan Desaru untuk menyertai Karnival GP Joran 2008 pada 3 dan 4 Mei ini boleh diambil untuk meneroka ikan sungai di daerah ini.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.