Joran

Joran » Berita

Layang-Layang uji ketahanan pemancing

Oleh Helmi Hamzah

JUARA: Ketua Pasukan Ruby dari Sarawak, Chin Chee Kok (tiga dari kanan) menerima replika cek RM20,000 yang muncul sebagai juara.
JUARA: Ketua Pasukan Ruby dari Sarawak, Chin Chee Kok (tiga dari kanan) menerima replika cek RM20,000 yang muncul sebagai juara.

LABUAN: Usia tidak menghalang peserta Pulau Pinang, Sam Kai Cheong atau lebih dikenali Uncle Sam, 78, untuk dinobatkan juara Kategori Individu acara IGFA Labuan International Game Fishing Tournament 2008 yang berlangsung 21 hingga 27 April lalu.

Peserta veteran itu membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan trofi apabila menjinakkan ebek seberat 12 kilogram (kg) yang diperoleh selepas bertarung hampir setengah jam.

Beliau antara peserta paling setia menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu dan usia yang semakin meningkat tidak pernah menjadi bebanan untuk menyertai pertandingan itu bersama lima lagi pemancing pasukan Rod Warrior.

“Saya mula menyertai pertandingan ini sejak siri pertama pada 2002 dan tahun lalu terpaksa akur di tempat ke-9 namun ia tidak pernah memadamkan hasrat untuk menyertai pertandingan memancing ini.

“Pertandingan ini dianggap unik kerana jarak memancing yang jauh dari Labuan hingga menjangkau ke Pulau Layang-Layang menjanjikan pertandingan sengit serta ikan bersaiz XL.

“Bukan saja hasil lumayan, peserta juga berpeluang menyaksikan keindahan pulau berhampiran serta batu karang yang cantik ketika dalam perjalanan satu lubuk ke satu lubuk,” katanya.

Pertandingan itu turut menguji ketahanan fizikal dan mental apatah lagi apabila kekili elektrik dilarang digunakan sama sekali hanya berbekalkan kudrat serta semangat yang tinggi.

Sementara itu, Kategori Berpasukan menyaksikan kumpulan Rubuy dari Sarawak muncul juara apabila mendaratkan jumlah ikan terkumpul seberat 216 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi.

Ketua pasukan itu, Chin Chee Kok, menyifatkan impian yang dihajati muncul selepas lima tahun berturut-turut menyertai pertandingan dan kemenangan itu akan menjadi sebab utama mereka kekal bertanding pada pertandingan tahun depan.

“Tuna gigi anjing (dog tooth tuna) seberat 69kg adalah antara pendorong kemenangan serta ditambah pula dengan ikan lain termasuk kertang (67kg) dan tuna sirip kuning untuk membantu mereka berada di tempat teratas,” katanya.

Tempat kedua, Lahad Datu Wave memiliki jumlah berat terkumpul 192kg kemenangan itu adalah tanda kesabaran mereka untuk mencipta nama apabila buat pertama kali menempah tempat dua teratas selepas menyertai pertandingan itu sejak empat tahun lalu.

Tuna gigi anjing seberat 50kg yang diperoleh pada hari pertama pertandingan seperti azimat untuk kumpulan memperoleh lebih banyak tangkapan termasuk ikan minyak menjelang pertandingan berakhir.

Kumpulan itu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi turut menjinakkan tiga ekor ikan minyak.

Fish Borneo yang berada di tempat ketiga serta membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 disifatkan sebagai pasukan campuran apabila enam anggota kumpulan itu membabitkan warga negara Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Pasukan itu turut disertai peserta wanita, Marli Banks, 26 dari Australia yang menyifatkan percubaan kali pertama menyertai pertandingan memberikan pelbagai pengalaman berguna dan pasti dia akan bertanding tahun depan.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai lebih RM50,000 disertai oleh 227 peserta manakala setiap bot ditetapkan disertai maksimum enam peserta.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.