Joran

Joran » Berita

NatStar, I'naz tarik pemancing ke Sabak Bernam

Oleh Osman Lisut

TIDAK KETINGGALAN: Mustapa menerima tajaan daripada Simon (kiri) pada majlis penyerahan tajaan Joran 2008 Sabak Bernam.
TIDAK KETINGGALAN: Mustapa menerima tajaan daripada Simon (kiri) pada majlis penyerahan tajaan Joran 2008 Sabak Bernam.

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar produk kesihatan, NatStar (M) Sdn Bhd (NatStar), bercadang memperhebatkan promosi cara hidup sihat kepada orang ramai dengan memperkenalkan makanan tambahan semula jadi, OPTI-X dan suplemen diet antosianin, Optivin.

Ini termasuk menyertakan kedua-dua produk berkenaan bersama minuman Optigest sebagai hamper yang akan dibawa pulang oleh pemenang pusingan kedua Karnival GP Joran 2008 di Pantai Sungai Lang, Parit Baru dekat Sabak Bernam pada 7 dan 8 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NatStar, Datuk Simon S W Wong, berkata tajaan itu bukanlah yang terakhir syarikatnya, sebaliknya akan mempertingkatkan kerjasama dengan Berita Harian menerusi pelbagai program lain pada masa akan datang.

“Sumbangan 10 hamper bernilai RM5,000 itu akan dimenangi pemancing yang menduduki tempat pertama dan kelima bagi kedua-dua Kategori Laut serta Pantai. Produk berkenaan amat baik untuk kesihatan dan sudah diuji selamat sebuah jabatan farmasi pusat perubatan di Amerika Syarikat,” katanya selepas menyerahkan tajaan NatStar kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mustapha Omar, Rabu lalu.

Sementara itu, I’naz Design & Collection (I’naz) pula menaja penyertaan peserta Pantai dengan syarat mereka membeli produk I’naz terlebih dulu sebelum membuat pendaftaran.

Pengusahanya, Azlina Ahmad, berkata dengan membeli produk I’naz minimum RM150 mereka layak mendapat kemudahan itu dengan menunjukkan resit rasmi pembelian kepada urus setia GP Joran.

“Dalam erti kata lain, kita membayar RM80 wang pendaftaran berkenaan, walaupun pada dasarnya mereka hanya membayar RM150 untuk sehelai kain sari songket I’naz. Begitu juga mereka membeli kain yang berharga RM200 dan ke atas, masih tetap memperoleh kemudahan itu,” katanya.

Azlina berkata, setiap pusingan karnival GP Joran 2008, pihaknya turut menaja 14 helai sari songket sebagai hadiah kepada pemenang dan cabutan bertuah.

“Cara ini secara tidak langsung mendekatkan I’naz dengan pemancing dan ingin berkongsi kemeriahan karnival GP Joran bersama mereka,” katanya.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.