Joran

Joran » Berita

Nikmati tuna, belitung, wahoo ketika keliling dunia

Oleh Osman Lisut

KENANGAN: Krew KLD Tunas Samudera bergambar dengan belitung Mexico yang memerah tenaga Thomas ketika kapal sedang belayar.
KENANGAN: Krew KLD Tunas Samudera bergambar dengan belitung Mexico yang memerah tenaga Thomas ketika kapal sedang belayar.

KRISMAS ISLANDS: Angin yang bertiup perlahan melambatkan perjalanan Kapal Layar Diraja Tunas Samudera (KLD Tunas Samudera) ke Fiji, bagaimanapun kesempatan ini diambil anak kapal berkenaan untuk melakukan beberapa aktiviti termasuk memancing.

Bagi Leftenan Thomas Angom, kesempatan ‘time off’ yang diberikan pegawai pemerintah, Kapten Rusli Idrus, menyaksikan beliau dan beberapa rakan lain memancing dengan teknik menunda di perairan itu dengan harapan tuna, tenggiri atau barakuda menyambar gewang, sekali gus untuk dijadikan juadah makan malam.

Menurut Thomas, percubaan demi percubaan dilakukan, namun tidak berhasil sehinggalah sekitar jam 6.40 petang, apabila gewang kilat yang diperbuat daripada butang baju disambar tuna sirip kuning seberat 22 kilogram hingga memaksanya memerah tenaga hampir 45 minit.

“Macam anak lembu liar aksinya, saya diasak ke kiri ke kanan, kadang-kadang melarikan diri sehingga ke bawah kapal. Dengan bantuan rakan-rakan tuna berkenaan berjaya dinaikkan ke atas dek kapal. Selang sejam selepas mendaratkan tuna, kekili yang saya beli di Trinidad & Tobago, sekali lagi menjerit akibat disambar seekor wahoo seberat 20 kilogram.

“Pada malam itu kami menikmati pelbagai lauk daripada tuna dan wahoo berkenaan. Malah, tukang masak turut membuat sushi tuna untuk dinikmati krew yang lain,” katanya yang menghubungi Joran.

Untuk menunda di perairan Kepulauan Krismas, katanya, kapal mestilah bergerak dengan kelajuan enam hingga lapan batu nautika sejam untuk membolehkan gewang bergerak seakan anak ikan yang bermain di permukaan air.

Pengalaman itu diceritakan ketika Thomas bersama 46 krew KLD Tunas Samudera belayar mengeliling dunia selama 410 hari sejauh 32,690 batu nautika dengan 25 pelabuhan disinggahi. Kapal berkenaan berlepas dari Pelabuhan Klang dengan merentasi Lautan Hindi, Pasifik dan Atlantik serta beberapa lautan utama dunia pada 21 Mac tahun lalu dan pulang ke tanah air di jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pulau Indah pada 27 April lalu.

Ketika berlayar, KLD Tunas Samudera turut mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Tall Ships Races 2007’ yang merentasi Lautan Baltik dari Stockholm, Sweden ke Szczecin Poland, dari 5 Julai hingga 5 Ogos tahun lalu.

Thomas berkata, ketika belayar di perairan Mexico, seekor belitung seberat 17 kilogram berjaya didaratkan ketika kapal bergerak dengan kelajuan 30 batu nautika sejam.

“Bayangkan, dalam keadaan kapal belayar saya terpaksa melayan belitung yang tersangkut di mata kail. Bukannya mudah apabila kita terpaksa beradu tenaga dengan ikan yang bergerak ke haluan lain, manakala kapal di sebaliknya. Bagaimanapun, saya bernasib baik apabila ikan berkenaan membuat pusingan U dan memudahkan ia dinaikkan ke kapal.

“Ini adalah belitung yang terbesar pernah saya naikkan sejak berjinak-jinak dengan aktiviti memancing ketika berusia lima tahun. Selepas ikan itu dapat dinaikkan ke kapal, ramai rakan bergambar dengan ikan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, saat paling menggembirakan ialah apabila segala tangkapannya dapat dinikmati semua krew termasuk Kapten Rusli kerana di atas kapal hubungan mereka amat rapat sebagai sebuah keluarga besar.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.