Joran

Joran » Berita

Bank Rakyat serah tajaan RM100,000

Oleh Osman Lisut

TAJAAN: Mustapa (empat dari kiri) menerima replika cek penajaan dari Rosely di Balai Berita, Kuala Lumpur.
TAJAAN: Mustapa (empat dari kiri) menerima replika cek penajaan dari Rosely di Balai Berita, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kerjasama menganjurkan pelbagai kegiatan masyarakat dengan Berita Harian berjaya memberi kesan postif yang ketara kepada populariti dan perniagaan Bank Rakyat.

Pengurus Besar Perkhidmatan Korporatnya, Datuk Rosely Samsuri, berkata Bank Rakyat kerjasama dengan Berita Harian dalam menganjurkan pertandingan memancing umpamanya berjaya mencetuskan promosi sangat positif sehingga menaikkan lagi imej institusi perbankan Islam itu di samping meningkatkan keahlian.

“Ini terbukti apabila sebahagian besar peserta Karnival Memancing Bank Rakyat-Joran 2008 di Jitra pada 11 dan 12 April lalu adalah pemegang akaun baru Bank Rakyat. Pada masa sama, nama Bank Rakyat makin menjadi sebutan orang ramai apabila pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya.

“Bank Rakyat juga merancang untuk memperhebatkan kerjasama dengan Berita Harian dan akhbar terbitan New Straits Times Press (NSTP) menerusi beberapa program lain termasuk pendidikan, usahawan serta aktiviti berkaitan,” katanya pada majlis penyerahan tajaan RM100,000 kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mustapha Omar, di Balai Berita di sini, Rabu lalu.

Penajaan itu sebahagian daripada pembiayaan kos penganjuran karnival di Teluk Mak Nik dekat Kemaman pada 13 dan 14 Jun ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000. Juara mendapat RM15,000, kedua RM8,000 dan ketiga RM5,000. Sepuluh pemenang akan mendapat RM400, RM300 (10 pemenang), RM200 (10 pemenang) dan RM100 (30 pemenang).

Hadir sama, Pengurus Besar Sumber Manusia Bank Rakyat, Ahmad Fuad Mohd Amin; Pengurus Besar Sumber Manusia, Ahmad Fuad Mohd Amin; Penolong Pengurus Besar Teknologi Maklumat dan Kaedah Operasi, Rahim Yunus; Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan, Ahmad Khidzbullah Ridzuan; dan Pemangku Penolong Pengurus Besar Kewangan, Mustaffa Abdul Razak.

Penolong Pengurus Besar Kewangan NSTP, Abdul Hamid Abdullah; Ketua Pengarang Berita, Berita Harian, Azizi Othman; dan Pengarang Joran/Projek Khas, Kamal Ahmad.

Untuk siri kedua karnival memancing berkenaan, Bank Rakyat masih mengekalkan tawaran memberi diskaun 50 peratus (RM40) bagi pemancing yang mempunyai akaun dan bagi mereka yang tidak memilikinya dikenakan bayaran RM80.

Justeru, kaunter khas Bank Rakyat akan dibuka di tapak karnival bagi membuka akaun atau menyemak status akaun mulai jam 10 pagi sehingga 10 malam pada 13 Jun. Kaunter sama dibuka semula jam 5 pagi pada 14 Jun.

Hebatnya, Teluk Mak Nik yang juga mendapat jolokan nama ‘Monica Bay’ ialah kehadiran ikan bersaiz besar berbanding di pantai lain di Semenanjung. Rekod tangkapan ikan terberat pernah dicipta di situ ialah seekor pari seberat 26.9 kilogram yang ditewaskan Ghazali Abu Bakar, dua tahun lalu.

Begitu juga dengan ikan gerong belang, siakap, alu-alu dan ebek juga kerap dibawa naik di situ sekali gus menjadikan pantai berkenaan syurga bagi kaki pancing. Spesies lain boleh dipancing di sini ialah kerapu, bawal pinang, daun baru, gelama papan, ketuka dan todak.

Pemilihan Teluk Mak Nik juga atas faktor keluasan pantai yang boleh mengisi sehingga 3,000 peserta selain sekali gus menjadi antara gelanggang kategori Pantai paling berprestij di Malaysia. Keterangan Unit Joran: 03-22822323 sambungan 4242/4241 atau 013-3310166.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.