Joran

Joran » Berita

Rozi terkena semburan 'dakwat' sotong

Oleh Baharom Bakar

DAPAT: Rozi turut mempamerkan kehebatan apabila berjaya menaikkan sotong.
DAPAT: Rozi turut mempamerkan kehebatan apabila berjaya menaikkan sotong.

KUALA TERENGGANU: Perairan Pulau Kapas, Pulau Redang serta Pulau Bidong, di sini, adalah antara lokasi utama untuk mencandat sotong bermula awal Mei lalu sehingga Ogos ini. Tidak hairan, sekitar perairan tiga pulau itu kelihatan seolah-olah pasar malam apabila kerlipan cahaya lampu kalimantang berderetan dan dapat dilihat dari daratan.

Pencandat sama ada nelayan, penduduk atau pelancong yang hanya turun ke laut semata-mata untuk mencandat sotong jarang pulang tangan kosong sebaliknya pulang dengan tangkapan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 kilogram (kg) sotong dalam masa lima jam.

Bagi pelancong yang jarang mencandat, mereka mungkin mengalami mabuk laut apabila bot dinaiki dilambung ombak tetapi lazimnya mereka tetap cekal dan lupa masalah itu apabila mata kail disambar sotong.

Saat paling manis dan tidak dapat dilupai sebahagian pencandat apabila sotong yang tersangkut pada mata kail menyemburkan air berwarna hitam sebaik tiba di permukaan air.

Kemeriahan mencandat sotong turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat, apabila turun ke laut bersama kumpulannya yang digelar Geng Hulu Terengganu. Turut menyertai geng itu ialah personaliti TV3, Azran Mohamad.

Walaupun kebanyakan ahli kumpulan itu tidak biasa ke laut dan pertama kali mengalami mabuk laut, tetapi nasib menyebelahi mereka apabila memperoleh hasil tangkapan lebih 30kg dalam tempoh lima jam mulai jam 8.30 malam.

Rozi sendiri mengakui pertama kali merasai pening lalat ketika bot dinaiki meredah ombak untuk sampai ke lokasi memancing yang terletak kira-kira 25 batu nautika dari Pelabuhan Chendering.

Bagaimanapun, katanya, pening kepala hilang sebaik melihat kelibat sotong di permukaan air sebaik lampu yang dipasang dihalakan ke permukaan air.

“Pertama kali melihat kelibat sotong yang timbul di permukaan air, rasa hendak menyauknya tetapi dilarang Azran yang beberapa kali pernah menyertai pertandingan mencandat sotong,” katanya.

Walaupun pengalaman pertama, katanya, tetapi tunjuk ajar Azran menjadikan beliau tidak jemu untuk terus menghulurkan mata candat ke air, biarpun sotong yang tersangkut pada mata kail terlepas sebaik tiba di permukaan.

“Pertama kali berjaya menaikkan sotong sepanjang 70 cm selepas lebih 15 kali terlepas,” katanya yang turut terkena percikan ‘dakwat’ sotong.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.