Joran

Joran » Berita

Kerani JPS bawa pulang RM15,000

Oleh Helmi Hamzah

TAHNIAH: Timbalan Ketua Setiausaha Negeri Selangor, Datuk Nordin Sulaiman menunjukan tanda bagus ketika melihat ikan kerapu yang ditangkap Md Nor Hiddayad sekaligus merangkul juara Kategori Laut Karnival GP Joran 2008 di Sabak Bernam.
TAHNIAH: Timbalan Ketua Setiausaha Negeri Selangor, Datuk Nordin Sulaiman menunjukan tanda bagus ketika melihat ikan kerapu yang ditangkap Md Nor Hiddayad sekaligus merangkul juara Kategori Laut Karnival GP Joran 2008 di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM: “Musim gemilang, itulah yang dapat saya gambarkan bagi Karnival GP Joran tahun ini selepas hampir 12 tahun menyertai pertandingan memancing anjuran Unit Joran Berita Harian,” kata Md Nor Hiddayad Mohd Noh, dari Kuala Selangor yang muncul juara pada Karnival GP Joran minggu lalu serta membawa pulang wang tunai RM15,000 dan hadiah iringan.

Kerani Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mendaratkan kerapu 10.58 kilogram dan sekali gus memungut 158.7 mata bagi meletakkan dirinya di tangga teratas mendahului 650 peserta Kategori Laut Pusingan Kedua di Sabak Bernam.

Pusingan Pertama Karnival GP Joran di Sedili pada 4 dan 5 Mei lalu, Hiddayad, 40, mendaratkan ebek seberat 7.42 kilogram dan kini dia terus mendaki carta sirkit Karnival GP Joran.

Bagaimanapun, dia perlu mengekalkan prestasinya kerana dianggap sedikit kurang bernasib baik disebabkan tidak menyertai Pra GP di Pantau Puteri Melaka, Mac lalu mengakibatkanya ketiadaan bonus 20 mata.

“Kemenangan ini memang tidak diduga kerana saya hanya mengamalkan amalan yang biasa dilakukan termasuk sering menukar umpan serta sentiasa menggunakan umpan segar bagi menarik perhatian ikan.

“Umpan kembung segar yang dibawa pada awalnya berjaya mendaratkan kerapu seberat 2.56 kilogram kira-kira jam 5 petang Sabtu dan itu membuatkan hati saya berdetik pasti ada ikan yang lebih besar.

“Tanpa mengenal penat, saya mencuba nasib selepas maghrib kerana hati saya berkata pasti ada ikan yang lebih besar di sekitar perairan Sungai Besar seperti yang pernah diceritakan oleh rakan yang pernah mencuba nasib di kawasan itu.

“Kira-kira jam 8 malam, batang joran saya melendut hampir berbentuk “U” dan ia memberikan isyarat, mangsa yang meragut umpan kembung yang digunakan pasti besar,” katanya.

Tanpa berlengah, Hiddayad mengarau kekili Daiwa Saltiga yang baru dibelinya beberapa bulan lalu dan mendapati kerapu seberat lebih 10 kilogram berjaya dijinakkan.

Tempat kedua, juruteknik MAS, Ahmad Yuzairi Mohd Lasa, dari Kuala Lumpur muncul naib juara apabila turut menjinakkan kerapu seberat 8.76 kilogram dan sekali gus mengumpul 131.4 mata, manakala membawa hadiah wang tunai RM6,000 serta iringan.

“Keadaan laut yang sedikit gelora serta ribut beberapa kali hampir menamatkan impian untuk mendaratkan ikan kerana cuaca yang kurang baik sering kali dikaitkan dengan tiada tangkapan.

“Namun, saya menguatkan azam kerana sejak beberapa tahun menyertai Karnival GP Joran belum pernah saya naik ke pentas untuk menerima hadiah yang diimpikan,” kata Ahmad Yuzairi, 30.

Menurutnya, tanpa diduga, batang joran yang digunakan direntap beberapa kali kira-kira jam 8 malam dan apabila dikarau dia mendapati kerapu yang menjadi buruan ramai kaki pancing berjaya ditewaskan.

Pesara , Husin Awang dari Perak yang mendaratkan jenahak seberat 6.54 kilogram dan sekali gus mengumpul 98.1 mata menyifatkan keputusannya bertukar kategori dari Kategori Pantai ke Kategori Laut membawa tuah.

“Sejak 1997, saya banyak menyertai Kategori Pantai bagi Karnival GP Joran kerana mengikut rakan lain yang kebanyakanya lebih gemar menyertai acara itu.

“Bagaimanapun, keadaan berubah di Sabak Bernam, apabila anak saya, Roslan Husin mengajak saya untuk menyertai Kategori Laut dan ia kali pertama saya menyertai kategori itu.

“Memang tidak menyangka percuba kali pertama ini memberikan hasil lumayan apabila membawa pulang haidah wang tunai RM3,000 serta iringan,” katanya.

Husin yang menggunakan umpan sotong kurita yang dibawa dari rumah menjinakkan jenahak itu kira-kira jam 12 malam.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.