Joran

Joran » Berita

Pantai Puteri banyak spesies komersil



MELAKA: Pantai Puteri yang menjadi gelanggang rasmi Karnival Pra-GP Joran sejak 2001, sekali lagi bakal menjadi tumpuan kaki pancing dari seluruh negara menjelang Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 di situ pada 12 dan 13 Julai ini.

Pantai sepanjang 4 kilometer itu tidak menghampakan kaki pancing setiap kali dianjurkan pertandingan memancing.

Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 masih menyediakan 63 hadiah untuk dimenangi kaki pancing dengan juara bakal membawa pulang RM15,000; kedua RM8,000 dan ketiga RM5,000 berserta hadiah iringan lain termasuk peralatan memancing serta barangan elektrik.

Mengenai Pantai Puteri pula terdapat pelbagai spesies seperti pari, ketuka, gelama, semilang, daun baru, belukang, malong dan senangin yang mampu memberi tuah kepada pemancing. Bak kata pemancing, ada ikan sudah pasti ada wang yang dimenangi.

Tangkapan terbesar pernah dicatatkan di Pantai Puteri ialah pari seberat 11.72 kilogram (kg) yang didaratkan Abdul Rahman Jaafar, dari Barok, Jasin pada pusingan akhir GP Joran 2001. Beliau menewaskan kira-kira 2,000 peserta lain yang juga rekod penyertaan tertinggi GP Joran ketika itu.

Diikuti pada Pra-GP Joran 2003/04, apabila Azaiedie Ali, 43, dari Kuantan, Pahang, pula dinobatkan sebagai juara selepas mendaratkan kerapu seberat 1.81kg.

Sementara itu, pada Pra-GP Joran 2005, spesies semilang menguasai carta pemenang. Bagaimanapun, pemenangnya adalah pari tunggal seberat 2.76 kilogram milik Muzaffar Shah Kassim dari Selangor sekali gus melayakkannya menerima RM12,000 yang ditawarkan penganjur.

Ketika Pra-GP Joran 2006 dan 2007, menyaksikan pari terus menguasai pentas penerima hadiah memandangkan spesies itu banyak terdapat Pantai Puteri. Difahamkan pantai itu tempat membiak pari kerana pantainya sedikit berlumpur ada alur di dasarnya.

Manakala Pra GP Joran 2008 menyaksikan pemandu lori dari Pahang, Mohd Zuki Yaakon, muncul juara dengan tangkapan sembilang seberat 960 gram menewaskan kira-kira 2,200 peserta.

Sebagai tips memancing di pantai ini, peserta disaran menggunakan joran panjang melebihi 4 hingga 6 meter (12 hingga 18 kaki) dengan batu ladung bersaiz sederhana untuk membuat lontaran lebih jauh ke tengah laut sekali gus mencerahkan peluang

menaikkan tangkapan besar.

Memandangkan pantai itu kaya spesies semilang dan belukang, umpan perumpun dan udang pasar sesuai digunakan. Bagi memburu pari atau ketuka, umpan sotong hiris mampu menarik minat spesies itu. Kerapu atau daun baru pula menggemari umpan udang segar.

Seperti pusingan pertama dan kedua karnival ini, Bank Rakyat masih mengekalkan potongan 50 peratus kepada pemegang akaun bank berkenaan yang mahu menyertai pertandingan berkenaan. Ia mudah dengan membuka akaun baru sebanyak RM40 mereka layak mendapat kemudahan diskaun berkenaan.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.