Joran

Joran » Berita

RM15,000 berpindah tangan dalam 3 minit

Oleh Osman Lisut

TAHNIAH: (Dari kanan) Syamsul, Wan Long dan Sidek selepas majlis penyampaian hadiah Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.
TAHNIAH: (Dari kanan) Syamsul, Wan Long dan Sidek selepas majlis penyampaian hadiah Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.

KEMAMAN: Hati mana tidak resah apabila melihat seorang pemancing yang berada pada jarak kira-kira tujuh meter, asyik melayan aksi ikan manakala beliau sekadar memerhati, kata Syamsul Bahri Abdullah, 34.

Beliau berkata, sedang asyik mengelamun tiba-tiba hujung joran sepanjang 12 kaki (tiga meter) miliknya melentur dan bergetar beberapa kali seolah-olah ada ikan sudah melekat di mata kail.

“Serta-merta saya terus menyambar joran lalu merembat balas. Maka berlakulah pertarungan,” katanya Syamsul Bahri selepas dinobatkan juara Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 di Pantai Teluk Mak Nik di sini, Sabtu lalu.

Pari seberat 8.74 kilogram (kg) yang didaratkan pada jam 10.15 pagi itu diisytiharkan tangkapan terberat dan mengalahkan pari milik Wan Long Wan Mohamad iaitu pemancing yang berada di sebelahnya yang muncul naib juara, manakala tempat ketiga diraih Sidek Shamsuddin.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafa Abdul Rahman; diiringi Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat.

Hadir sama, Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Setiausaha Bank Rakyat, Datuk Rosely Shamsuri; Pengurus Besar Sumber Manusia, Fuad Mohd Amin; Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainuddin Ayip dan Editor Joran/Projek, Kamal Ahmad.

Kata juruteknik kilang itu, manisnya kemenangan itu adalah kerana ia kejuaraan pertama terbesar diraihnya sejak menyertai pertandingan memancing anjuran Joran Berita Harian mahupun penganjur tempatan.

“Kemenangan ini paling bermakna selain membawa pulang wang tunai RM15,000 saya juga memenangi hadiah iringan lain termasuk peralatan memancing sumbangan penaja. Saya akan menggunakan sebahagian wang kemenangan untuk makan dengan rakan kerana mereka sebagai pendorong minat saya terhadap memancing.

“Manakala sebahagiannya akan diberi kepada isteri serta ayah dan ibu untuk belanja harian,” katanya.

Bagi Wan Long pula, beliau sering menyertai pertandingan memancing di Terengganu, Pahang dan Kelantan, namun tidak menduga penyertaan kali ini memihak kepadanya apabila muncul naib juara.

“Hari ini (Sabtu lalu), saya memancing seperti biasa dan tidak mengharapkan sesuatu untuk menang. Kalau ada ikan yang memakan umpan dan mengena, ia adalah rezeki untuk dimakan bersama keluarga. Sekiranya tangkapan itu besar dan layak memenangi hadiah yang ditawarkan ia dianggap satu bonus.

“Ketika melayan joran, saya dapat mengagak ia ikan besar tetapi tidaklah menaruh sebarang harapan kerana mungkin di kawasan lain ada ikan lebih besar dipancing peserta, siapa yang tahu. Tetapi, apabila diberitahu petugas bahawa ia tangkapan paling besar, saya rasa sedikit gembira.

“Namun, selang tiga minit seorang pemancing (Syamsul Bahri) pula menaikkan pari besar sedikit daripada yang saya pancing. Ia sekali gus membuatkan hati saya terdetik seketika sama ada peluang masih ada atau memihak kepadanya. Hendak menyedapkan hati saya terus memancing dengan harapan ada ikan besar yang meragut umpan udang hidup yang dipasang,” katanya.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.