Joran

Joran » Berita

Bank Rakyat sedia RM40,000 di Pantai Puteri, Melaka



SUKAT: Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran dan Pengurusan Aktiviti Bank Rakyat, Mahathir Mohamed, mengukur tapak karnival ketika tinjauan di Pantai Puteri, Selasa lalu.
SUKAT: Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran dan Pengurusan Aktiviti Bank Rakyat, Mahathir Mohamed, mengukur tapak karnival ketika tinjauan di Pantai Puteri, Selasa lalu.

MELAKA: Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 dianjurkan lagi dan mengekalkan tawaran RM40,000 kepada pesertanya.

Karnival ketiga ini dijadual dianjurkan di Pantai Puteri dekat sini pada 12 dan 13 Julai depan.

Seperti biasa, karnival bermula Sabtu dengan pelbagai aktiviti jualan, sukaneka dan promosi selain pendaftaran peserta di lokasi. Pertandingan memancing menyusul pada Ahad mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari sebelum bermula majlis penutup dan penyampaian hadiah.

Karnival di Pantai Puteri bakal menyaksikan saingan lebih sengit berbanding di Teluk Mak Nik, Kemaman, Sabtu lalu yang merekodkan kehadiran 1,280 peserta. Pantai Puteri sepanjang 4 kilometer ini dijangka diisi lebih 1,300 peserta yang rata-rata kaki pancing tempatan selain, Johor, Negeri Sembilan, Lembah Klang, Perak dan kumpulan pemancing dari Pahang dan Terengganu.

Juara bakal pulang bergaya dengan RM15,000, pemenang kedua masih mampu tersenyum dengan RM8,000 dan ketiga tetap berpuas hati dengan RM5,000.

Acara tajaan penuh Bank Rakyat ini menyaksikan 10 pemenang akan menerima RM400, RM300 (10 pemenang), RM200 (10 pemenang) manakala 30 pemenang masing-masing menerima RM100. Sebuah motosikal Modenas Kriss kekal ditawarkan sebagai hadiah utama cabutan bertuah.

Sebagai persiapan awal karnival itu, sekumpulan pegawai Bank Rakyat diketuai Pengurus Jabatan Pemasaran dan Pengurusan Aktiviti, Zulfakrozi Mohammad serta urus setia Unit Joran turun padang bagi meninjau tapak yang bakal menempatkan kaunter utama Bank Rakyat selain 20 kaunter usahawan yang pernah mendapat pembiayaan bank itu.

Sekurang-kurangnya 50 peniaga tempatan juga dijangka memeriahkan tapak karnival berkenaan yang mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Pelbagai acara dirancang bagi memeriahkan karnival termasuk sukaneka seperti melukis dan mewarna untuk kanak-kanak yang akan dikelolakan oleh Kelab Nuri. Acara yang pasti memikat pengunjung ialah pertandingan tarik tali terbuka yang menawarkan habuan RM4,000 iaitu juara RM2,000, kedua RM1,000, ketiga RM600 dan keempat RM400. Pertandingan dijadualkan jam 8 pagi Ahad dan final jam 1 tengah hari.

Pertandingan karaoke juga diadakan dengan juara mendapat RM300, kedua RM200 manakala ketiga RM100. Acara dijadualkan jam 10 pagi Sabtu untuk pendaftaran dan pertandingan jam 3 hingga 6 petang.

Sebelah malam, peserta dan pengunjung dijadual dihiburkan oleh penyanyi pop yeh yeh yang akan diumumkan kemudian.

Yuran pertandingan ini kekal RM40 satu joran bagi ahli Bank Rakyat manakala yang bukan RM80. Namun kepada pemancing yang belum mempunyai akaun, boleh membuka akaun di tapak karnival mulai jam 10 pagi hingga 10 malam Sabtu dan disambung jam 5 pagi Ahad.

Pertandingan hanya untuk ikan terberat. Spesies di Pantai Puteri seperti pari, ketuka, gelama, sembilang, malong dan kerapu.

Keterangan, hubungi Unit Joran: 03-22822323 sambungan 4241/4242 atau 013-3310166 ataupun 019-3419991.

Sementara itu, Bidara Puteri Beach Resort yang beroperasi di Pantai Puteri mengalu-alukan peserta menginap di hotel berkenaan yang menawarkan harga berpatutan. Hotel itu mempunyai 32 unit bilik studio, 106 unit apartmen dua bilik dan 9 unit apartmen tiga bilik.

Pengurus Besarnya, Ahmad Fadzil Ariffin, berkata pihaknya menawarkan pakej istimewa sempena karnival itu dengan menghubungi: 06-3518008.

FAKTA

  • Pertandingan tarik tali Juara RM2,000, ke-2 RM1,000, ke-3 RM600 dan ke-4 RM400

  • Pertandingan karaoke Juara RM300, ke-2 RM200 dan ke-3 RM100

  • carian artikel
    lain-lain artikel
    Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
    Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
    © Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.