Joran

Joran » Berita

The Seafarer sedia menu baba

Oleh Nasir Abd Wahab

MELAKA: Kehadiran pemancing dan pengunjung pada Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008 menjadi lebih lengkap jika mereka menjamu selera menikmati enam hidangan istimewa masakan Baba Nyonya di Restoran The Seafarer, dekat Klebang, di sini.

Pengusahanya, Cassie Thien, berkata restoran itu menghidangkan menu wajib iaitu Asam Pedas Baba Nyonya menggunakan ikan jenahak segar atau pari, nanas masak lemak, kari ayam Pon Teng Teh, bendi rebus bawang belacan, ketam masak lada hitam dan tidak ketinggalan pencuci mulut 'Tai Bak' iaitu cendol kaum Baba Nyonya.

“Semua hidangan disediakan khas dengan harga berpatutan. Selain itu, pelanggan boleh menikmati pemandangan indah Selat Melaka di anjung jeti restoran,'” katanya.

Beliau berkata, menu istimewa paling digemari ketika ini ialah telur belangkas masak lemak jantung pisang. Ia disediakan Chef Thien Chin Neo, sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Baba Nyonya sebagai tukang masak yang kekal menggunakan ramuan dan gaya masakan asal masyarakat itu.

Berkonsepkan ‘The Taste for All’, Restoran The Seafarer dibina di tepi pantai dengan konsep perahu tradisional menggunakan bahan binaan mudah iaitu batang kayu manggis sebagai aksesori.

Keunikan masakan Baba Nyonya disempurnakan lagi dengan adunan pelbagai ulaman masyarakat Melayu termasuk cicah sambal belacan Klebang yang popular itu.

“Pengunjung boleh bersantai di restoran kami bersama sahabat handai dan keluarga sambil berhibur dengan menyanyi di ruang karaoke,'” katanya.

Katanya, jika ada kelapangan, temu janji juga boleh diatur untuk pelanggan meninjau ke Pulau Serimbun berhampiran Pulau Besar (kira-kira 32 batu nautika dari Pantai Klebang) untuk menyaksikan gerombolan anak ikan paus menghambat bilis dan udang geragau sekitar April, setiap tahun.

Cassie berkata, orang ramai juga berpeluang menyewa kemudahan bot pancing dan rekreasi dengan harga berpatutan. Maklumat lanjut: 06-3152693 manakala tempahan bot: 06-3153396.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.