Joran

Joran » Berita

Perairan Sarawak tetap jadi idaman

Oleh Toskhan Saring

HABUAN: Lim tiada masalah menaikkan merah 4 kilogram dengan kaedah spinning biasa.
HABUAN: Lim tiada masalah menaikkan merah 4 kilogram dengan kaedah spinning biasa.

PENGALAMAN yang menyeronokkan dapat menaikkan berbagai-bagai spesies ikan di Sarawak pada tahun lepas mendorongkan kami mengulangi lagi pada tahun ini di tempat yang sama. Team yang diketuai oleh Cikgu Zahari Jaafar bersama-sama geng banglanya yang kali ini dianggotai oleh Badrul MAS, Tajudin Asia, Nazri, Rahmat dan penulis berada di Sarawak pada pertengahan musim cuti sekolah baru-baru ini.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, team dari Johor yang di anggotai Wan Amildin, Khoo, Lim dan Alex menunggu ketibaan kami untuk dibawa ke jeti Santubung. Kedatangan kami kali ini dirancang sejak hujung tahun lepas dan berharap akan dapat mengatasi tangkapan yang kami buat pada tahun lalu.

Bagaimanapun kehadiran kami ke jeti tertangguh disebabkan semua joran yang berada di dalam lima sarung ‘bazooka’ bersama-sama tiga tong berisi peralatan memancing tiada bersama dalam penerbangan. Apabila peralatan kami tiba dengan penerbangan seterusnya kami terus ke jeti dan begerak meninggalkan Santubong lewat petang.

Kira-kira jam 2 pagi kami sampai di Lubuk Paloh. Masing-masing menurunkan umpan. Badrul yang berada di bahagian belakang bot menerima rentapan pertama seekor tenggiri skala 3 kilogram (kg) menggunakan kaedah menghanyut. Selepas itu giliran Wan Amildin, Cikgu Zahari, Khoo, Alex, Tajudin pula bergilir-gilir menaikan tenggiri sekitar tiga hingga lima kilogram menggunakan kaedah jigging. Sebanyak 14 tenggiri dapat dinaikkan pada malam berkenaan.

Hari kedua kami bergerak dari satu lubuk ke satu lubuk dan membuat pancingan dasar. Cikgu Zahari, Tajudin, Wan Amildin dan Nazri berentap menaikkan tangkapan masing-masing, manakala di bahagian tengah dan belakang yang terdiri dari Badrul, Rahmat, Alex, Khoo, Lim dan penulis cuba menandingi kehebatan mereka. Badrul mendapat tangkapan terbesar seekor merah saiz 7kg. Tangkapan jenahak tunggal seberat 4kg pada trip ini dimiliki Rahmat. Penulis juga bernasib baik dapat rentapan dua ekor ikan sekali gus seekor kerapu dan merah saiz lebih 3kg setiap seekor menggunakan perambut ala apollo dua mata saiz 4/0 dan 5/0 dan kekuatan tali perambut 150 paun.

Di sebelah malamnya pula, Wan Amildin menaikkan beberapa ekor kerapu dan merah dengan kaedah pancingan dasar dan jigging. Cikgu Zahari pula berentap dengan Tajudin menaikkan merah. Manakala Badrul, Lim dan Rahmat yang berada di belakang bot bertalu-talu mendapat rentapan ikan merah. Kebanyakan ikan yang dinaikkan bersaiz lebih 3kg.

Keesokan siangnya selepas mandi dan bersarapan kami pun memulakan tugas di kawasan baru. Seperti biasa ramai yang hanya berminat membuat pancingan dasar. Kali ini giliran Nazri, Cikgu Zahari, Tajudin, Wan Amildin, Badrul, Khoo, Rahmat bertalu-talu menaikkan ikan merah dan kerapu. Mereka bukan saja berlumba-lumba menaikkan tangkapan masing-masing riuh rendah di buatnya apabila ikan berjaya dinaikkan.

Di sebelah petang hari ketiga bot bergerak ke lubuk bernama Ocui atau air hitam. Perjalanan mengambil masa dua jam. Bagaimanapun lubuk ini tidak dapat memberi apa-apa erti kepada semua peserta.

Kami mula menggulung dan mengemas pancing masing-masing kerana acara memancing berakhir di sini. Jam 5 pagi kami mendarat di jeti dan harapan untuk mendapat tangkapan yang lebih besar dan banyak tidak kesampaian pada kali ini. Namun kami bersyukur sekurang-kurangnya setiap seorang mendapat bahagian yang memuaskan yang akan dibawa pulang ke Semenanjung untuk dikongsi makan bersama keluarga tercinta.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.