Joran

Joran » Berita

Empat rebut juara Grand Slam pantai 2008

Oleh Osman Lisut

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Grand Slam Karnival Memancing GP Joran 2008, bagi kategori Pantai, bakal ditentukan tiga pemancing dari Terengganu dan seorang dari Johor apabila bertembung di negeri Pantai Timur itu, pada Oktober ini.

Dengan mendahului 105 mata, Zuraidi Mohamad, 29, mempunyai peluang cerah, berbanding Jamaluddin Saian dari Johor dengan 82 mata dan dua pemancing Terengganu iaitu Ramli Jusoh (74 mata) serta Wan Abdul Hassan Wan Yusoh (69 mata).

Peserta dari Kemaman ini adalah calon utama sekiranya tiga pencabarnya itu gagal memperoleh sebarang mata pada pusingan akhir karnival memancing GP Joran 2008. Beliau sekadar memerlukan lapan mata saja atau hanya menduduki tempat ke-33, berbanding pencabarnya yang terpaksa bertungkus lumus, termasuk Jamaluddin yang menjuarai pusingan akhir karnival berkenaan, langsung tidak menggugat kedudukannya.

Bagi Jamaluddin, menduduki di tempat ke 27 dengan 14 mata sudah memadai bagi mengatasi Zuraidi dengan satu mata untuk muncul juara sekiranya pendahulu itu gagal menyerlah. Ini adalah percubaan kedua pemancing dari Kota Tinggi, Johor itu untuk muncul juara Grand Slam selepas melakukannya pada 2002 yang ketika itu beliau terpaksa akur kepada Mohd Nizam Md Sood, dari Pahang.

Walaupun sekadar naib juara ketika itu, beliau membawa pulang sebuah bot RAM-X 15 tajaan UFL-Coleman. Tahun ini, beliau bertekad untuk muncul juara dengan mensasarkan ikan bersaiz besar dan berat, bagi mencerahkan peluang untuk muncul juara kategori sekali gus memenangi hadiah lumayan yang disediakan penganjur.

Sementara itu, Ramli pula perlu mengutip 32 mata atau menduduki tempat ke-9, manakala Wan Abdul Hassan pula memerlukan 37 mata atau pada tempat keempat bagi mencerahkan peluang. Mereka berdua juga mengharapkan tiada sebarang mata dikutip Zuraidi pada pertandingan pusingan akhir nanti.

Pada masa yang sama tidak merelakan Jamaluddin muncul juara yang sekali gus menutup peluang mereka untuk memenangi hadiah lumayan berkenaan.

Sementara itu pihak pengurusan Berita Harian sedang berusaha dan dijangka mengumumkan kepada peserta hadiah Grand Slam yang dijangka selumayan sebelumnya kepada pemenang bagi dua kategori berkenaan tidak lama lagi.

Banyak pemancing bertanya mengenai hadiah berkenaan kerana pihak Joran belum lagi menguar-uarkan hadiah utama yang bakal diterima oleh pemenang pada pertandingan terakhir selepas hari raya nanti.

Mereka mahu menjadikan hadiah berkenaan sebagai pendorong untuk menyertai GP Joran tahun selepas ini yang dianggap pertandingan memancing paling berprestij di negara ini.

Bagaimanapun sehingga kini Berita Harian menyediakan hadiah wang tunai hampir RM300,000 untuk lima pusingan GP Joran. Ini tidak termasuk hadiah iringan puluhan ribu ringgit seperti barangan penaja berbentuk peralatan memancing dan makanan.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.