Joran

Joran » Berita

Dungun sesuai jadi Bandar Tenggiri

Oleh Osman Lisut

(BARISAN depan dari kiri) Zainal Abidin, Za’abar, Datuk Rosli Mat Hassan dan Manja memperkatakan mengenai ikan Gred A yang dipancing peserta.
(BARISAN depan dari kiri) Zainal Abidin, Za’abar, Datuk Rosli Mat Hassan dan Manja memperkatakan mengenai ikan Gred A yang dipancing peserta.

DUNGUN: Alasan untuk menganjurkan pertandingan memancing ikan tenggiri bertaraf antarabangsa di sini semakin kukuh apabila spesies pelagik itu sekali lagi mendominasi tangkapan pemenang pusingan akhir Karnival GP Joran 2008 di Teluk Lipat di sini, Ahad lalu.

Tenggiri yang dikategorikan sebagai ikan gred A dan memberikan 15 mata bagi setiap kilogram berjaya mengungguli tempat pertama hingga kelapan, ke-10 hingga ke-14, ke-17, ke-19, ke-23 dan ke-31. Malah, spesies itu menobatkan tiga pemancing tempatan iaitu Alias @ Che Awang Che Mat, Ibrahim Kassimi dan Wan Yusuf Hassan sebagai juara, naib juara serta pemenang tempat ketiga pertandingan yang berprestij berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang langsung tidak menduga kehadiran ikan berkenaan yang begitu banyak pada pusingan akhir karnival GP Joran 2008, berbanding pada pusingan keempat pada Ogos lalu.

“Ia membuktikan bulan ini (Oktober) adalah masa yang terbaik dan sesuai untuk memancing ikan tenggiri walaupun ketika ini semakin hampir dengan musim tengkujuh dan ikan biasanya semakin banyak.

“Justeru, saya meminta Berita Harian terutama Unit Joran melakukan sesuatu untuk mengambil peluang ini. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri menyuarakan hasrat untuk menjemput Berita Harian membawa Karnival GP Joran sekali lagi ke Terengganu, terutama ke sini tahun depan,” katanya.

Pada masa sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Zainal Abidin Hussin, berkata pihaknya akan menyusun promosi ikan tenggiri secara lebih agresif selepas dua siri GP Joran berjaya memperkenalkan lubuk terbaik daerah ini kepada pemancing seluruh negara.

Pada pusingan akhir GP Joran Ahad lalu, sebanyak 13 ekor tenggiri dengan jumlah berat 117.84 kilogram (kg) berjaya menduduki senarai pemenang dengan menyaksikan Alias menaikkan ikan seberat 10.2 kg. Diikuti Ibrahim dengan ikan seberat 9.9 kg dan Wan Yusuf (9.36 kg). Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, RM6,000 dan RM3,000 berserta piala iringan dan piala.

Rata-rata pemancing berpuas hati dengan hasil tangkapan terutama tenggiri. Walaupun ada yang mendakwa memperoleh banyak spesies itu, namun syarat penganjur hanya satu hadiah layak dimenangi peserta, hanya satu tangkapan yang difikirkan besar atau terberat dihantar ke hakim untuk ditimbang.

Pemancing mendakwa tenggiri perairan Pulau Tenggol ganas, terutama di sebelah pagi ketika matahari muncul. Bak kata orang, masa itulah ikan lapar dan menyambar apa yang muncul di hadapannya. Umpan paling efektif adalah selar, kembung, kerisi, beliak mata dan kacang-kacang hidup. Pantang saja umpan dilempar ke dalam air, ada saja tenggiri yang menyambar.

Mereka juga melahirkan rasa gembira dengan pemilihan perairan Dungun, terutama luar perairan Pulau Tenggol sebagai lokasi pertandingan memandangkan di situ banyak ikan. Walaupun hasil tangkapan mereka gagal menduduki senarai penerima hadiah, namun sekurang-kurangnya ia boleh dibawa pulang untuk dijadikan juadah bersama keluarga.

Selain tenggiri, spesies ebek, jemuduk, alu-alu, kerapu, ikan merah, belitung, aruan tasik, jenahak, kaci, pari, landuk, mayong dan bayan berjaya didaratkan pemancing. Ditambah pula, malam minggu itu cuaca agak baik dan sedikit berarus menyaksikan ikan keluar daripada tempat persembunyian untuk mencari ikan.

Antara lubuk yang dikatakan tumpuan tenggiri termasuk Lubuk Karang Tanjung, Batu Mat Ali, Kapal Kain, Karang Berolok, Batu Mega, Batu Kuing, Terbit Api, Rabong, Karang Reba, Karang Jara, Batu Bubu, Kapal Jara, Batu Lintang, Batu Aya, Kapal TV dan Mat Rodat.

Kebanyakan lubuk tenggiri berada kurang 20 batu nautika dari Jeti LKIM Kuala Dungun yang menjadi tempat berlepas lebih 350 peserta Kategori Laut yang menyertai pusingan kelima, Sabtu lalu.

Sebanyak 235.26 kilogram iaitu meningkat 6.52 kilogram ikan pelbagai spesies didaratkan 40 pemenang pada pertandingan kali ini. Jumlah itu menunjukkan satu petanda baik bagi kaki pancing yang akan menjadikan pelbagai lubuk sebagai medan pertarungan pada masa akan datang.

Kategori Pantai juga dijuarai peserta Terengganu, Mohamad Shariff Ismail dengan pungutan 62.3 mata, kedua Mokhtar Muda dari Pahang dan ketiga, Tengku Azhar Tengku Hamzah, juga dari Pahang. Mereka masing-masing mendapat wang tunai RM10,000, RM5,000 dan RM2,000.

Pusingan akhir karnival berkenaan dihadiri lebih 20,000 pengunjung yang turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Hattan, Farrah Asyikin dan bintang realiti My Starz LG, Bard menyampaikan lagu popular masing-masing. Sebelum itu pada malam minggu, artis kelahiran Terengganu, Anis Suraya, Kumpulan Sofaz dan Indah Ruhaila membuat persembahan menghiburkan kira-kira 2,000 pengunjung.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.