Joran

Joran » Berita

Bayan cantik dari dasar Andaman

Oleh Mohammad Shamwen Hashim

SATUN: Koh Bulon adalah sebuah pulau dalam gugusan pulau kecil di Laut Andaman yang menyimpan seribu keindahan di samping penghuni dasar lautnya yang cantik dan mempesonakan.

Ramai penggemar aktiviti snorkeling di kalangan pelancong asing teruja dengan keindahan terumbu karang di sekeliling pulau itu. Di samping itu, Koh Bulon menggamit ramai kaki pancing untuk menduga penghuni dasarnya.

Bagi rakan pancing yang tidak mampu mengambil cuti yang lama, Koh Bulon adalah pilihan yang paling tepat. Perjalanan dari jeti Pak Bara yang hanya mengambil masa dua jam ternyata tidak akan membazirkan masa memancing. Biasanya trip kami ke sini untuk tempoh 3 hari 2 malam atau setidak-tidaknya 2 hari 1 malam bergantung kepada kelapangan masing-masing.

Koh Bulon ia menjadi destinasi pilihan percutian keluarga yang menghiburkan. Pada sebelah malam, tekong akan membawa pemancing ke Pulau Besar untuk menangguk sotong. Di samping itu, kita boleh memancing sotong menggunakan candat payung berwarna putih. Memang syok melihat kanak-kanak dan ibu mencandat sotong di kedalaman dasarnya yang tidak sampai pun 10 meter.

Menjelang tengah malam, tekong akan bergerak ke Koh Bulon untuk memancing jenahak, kerapu, kaci dan gerut-gerut menggunakan sotong hidup sebagai umpan.

Keesokan pagi, tekong akan menjelajah sekeliling tiga pulau di Koh Bulon. Sasaran utama adalah bayan (parrot fish) dan kerapu yang banyak menghuni dasar di Bulon Kecil dan Bulon Besar. Ikan bayan memang menjadi buruan utama nelayan bubu di sini. Memang sukar untuk memujuk ikan bayan memakan umpan. Biasanya, kami gunakan ketam atau siput bercengkerang sebagai umpan. Terdapat banyak jenis bayan di sini seperti bayan biru, bayan hijau, bayan merah dan beberapa jenis lagi disebut ikan nok kiau yang cantik seperti flower horn.

Pada sebelah petang, Tukun Batu Putih menjadi pilihan utama kerana terdapat banyak ikan tenggiri, pisang dan talang yang bersaiz besar berkeliaran di situ. Biasanya kami menggunakan sotong atau ikan selar hidup dengan kaedah pancingan hanyut. Pelbagai teknik dipraktikkan seperti menghanyut menggunakan belon, botol plastik atau ditenggelamkan sedikit dengan batu ladung kecil.

Bagi yang memancing bersama keluarga, boleh memilih sama ada hendak menginap di chalet Koh Bulon atau terus memancing hingga petang esok harinya sebelum pulang ke jeti. Sebelum keluar sempadan Thailand-Malaysia, anda boleh membeli-belah dengan harga yang murah di Wang Kelian. Bagi yang meminati pancingan santai atau bercuti bersama keluarga boleh hubungi penulis: 019-4588661.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.