Joran

Joran » MukaDepan

Buru jenahak emas dalam lubang selat

Oleh Yusof Kadir

BERKILAU: Ikan jenahak seberat 4 kilogram milik Madon yang dipancing dari kawasan lubang atau kawah di perairan Sabak Bernam, baru-baru ini.
BERKILAU: Ikan jenahak seberat 4 kilogram milik Madon yang dipancing dari kawasan lubang atau kawah di perairan Sabak Bernam, baru-baru ini.

SABAK BERNAM: Perairan daerah ini adalah antara lokasi pancing yang popular di Selangor. Ia menjadi lubuk kegemaran kerana kedudukan strategik dan tidak berapa jauh dari Kuala Lumpur.

Paling penting, di sini memang terdapat banyak lubuk termasuk kapal karam, lubang (kawah) dan tukun tiruan selain karang semula jadi yang menjadi sarang ikan gred A seperti jenahak, kerapu, senohong dan pari.

Penulis sebagai penganjur trip sekali gus pemancing, sudah menjangkau 10 tahun meneroka lubuk di sini dan memperoleh tangkapan lumayan malahan ikannya tidak pernah habis dipancing hingga kini.

Kaki pancing yang menyertai trip ke lubuk itu baru-baru ini selain penulis ialah Madon, Johari, Sudin, Rosli Bakhtiar, Jantan, Awe, Mail dan Rahman. Awal pagi, bot perlahan-lahan meninggalkan jeti. Dalam perjalanan, kami sibuk memasang peralatan pancing manakala penulis ke dapur menyediakan hidangan tengah hari.

Dua jam, perjalanan akhirnya kami tiba di lubuk pertama yang adalah kawasan batu karang. Kami mensasarkan kerapu dan merah tanda bersaiz sederhana sebagai mangsa seperti trip yang lepas.

Satu set kekili multiplier dengan joran berkekuatan sederhana serta tali sulam 80 paun lebih kurang dua depan sudah memadai digunakan. Hirisan kembung dan sotong segar segera dicangkuk dengan mata kali bersaiz 3/0 atau 19 dan dilepaskan perlahan-lahan hingga batu ladung menyentuh dasar. Hasilnya, Mail menarik perhatian penghuni karang iaitu seekor pari hampir 3 kilogram (kg). Penulis menaikkan dua ekor merah tanda manakala Rahman menewaskan beberapa ibu kerisi.

Sambil memancing dan menikmati minum petang, tiba-tiba kekili elektrik Command X4 milik Sudin disentap kuat oleh mangsa. Tali sulam ditarik kuat hingga memaksa beliau bekerja keras mengawal joran. Hampir 5 minit melayan tarikan ikan berkenaan, seekor jenahak seberat 5 kilogram berjaya ditumpaskan. Ia adalah tangkapan terbesar setakat ini.

Aktiviti memancing kami disambung semula dan memberi lebih tumpuan menjelang senja hingga malam dan subuh kerana waktu itu ikan bersaiz bagak lebih galak menyambar umpan. Menjelang malam, tekong Ah Seng melabuhkan sauh di lubuk kapal karam. Malam yang gelap tanpa gelora adalah masa terbaik mencandat sotong.

Bagi penulis, candat berwarna garang seperti merah dan oren paling digemari sotong. Candat perlu dilumur isi kembung supaya bau hanyir ikan melekat pada candat. Akhir sekali baling candat dan karau perlahan-lahan. Insyaallah!! Pasti sotong tertarik.

Tanpa menunggu lama, umpan sotong hidup yang digunakan Madon direntap ganas mangsa di dasar. Mangsa meronta-ronta mahu melepaskan diri tetapi ternyata jenahak 4kg akhirnya menjadi rezeki peniaga emas dari Chow Kit itu. Beliau menumpaskan mangsa itu menggunakan perambut tangsi 90 paun sepanjang dua depan yang diikat dengan dua mata kail bersaiz 4/0 jenama Mustard.

Selepas itu, satu persatu joran membengkok dihenjut ganas oleh mangsa di dasar. Awe pula yang duduk dit engah bot mendapat kerapu seberat 2kg manakala Rosli yang mengharapkan jenahak memperoleh ikan merah bersaiz 3kg.

Sementara itu, Jantan yang kurang menjadi terus mencuba nasib dengan menukar umpan beberapa kali. Beliau yang kelihatan tertekan dan murung kembali tersenyum apabila kekili Shimano TLD 30 yang digunakan menjerit pada jam 4 pagi apabila umpan hirisan kembung yang digunakan dibaham dua kurau masing-masing 3.2kg dan 3.8kg.

Hari terakhir, kami memancing di gugusan karang tinggi berhampiran alur kapal. Jo DBKL menaikkan seekor aruan tasik manakala Bakhtiar menjinakkan yu kemenjan yang sukar ditemui di Selat Melaka.

Dari pengalaman penulis, ikan di perairan Sabak Bernam sebenarnya mudah dijinakkan jika kita mengetahui teknik memancingnya disamping memilih umpan yang sesuai. Berminat menyertai penulis, hubungi: 012-2116149

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.