60 merah, kerapu Sarawak serah diri
Oleh Zahari Jaafar
 |
| MENYALA: Rahmat Oli Mohamad, beraksi dengan ikan merah pucat seberat 6 kilogram yang ditewaskan ketika ekspedisi ke perairan Sarawak, baru-baru ini. |
KUCHING: Perairan di sini destinasi wajib penulis dan rakan dalam GZJ Anglers Team kerana banyak menyimpan lubuk terbaik yang dihuni ikan bermutu tinggi.
Ini mendorong trip akhir Mei lalu membabitkan penulis dan sembilan rakan dari Kuala Lumpur dan Johor selepas kejayaan trip pertama Mac lalu. Trip diuruskan Wan Amildin dari Johor Bahru yang bertindak sebagai ketua kontingen.
Selepas semua sedia, kami segera menuju ke jeti Santubong, terletak di bawah Jambatan Santubong. Apabila semua berada di atas bot, Wan Amildin memberi isyarat kepada tekong dan perlahan-lahan bot meninggalkan jeti.
Lubuk pertama kami kunjungi kira-kira 80 batu nautika dari jeti. Kami tiba di situ kira-kira jam 11 malam, sasaran utama ialah memancing tenggiri. Umpan ikan tamban beku seberat 40 kilogram (kg) dikeluarkan dari kotak. Penggunaan perambut kabel sepanjang dua jengkal adalah satu kemestian kerana tenggiri bijak memotong tangsi. Kabel berkekuatan 50 paun sudah mencukupi dan diikat kepada dua mata kail. Kaedah pancingan hanyut dilakukan dengan empat pemancing mengambil posisi di bahagian belakang.
Kedengaran kuat kekili Daiwa Expedition 6500 milik Badrulsham menandakan umpan dilarikan ikan. Beliau terus merentap joran untuk memastikan mata kail menembusi rahang mangsa. Pada mulanya ikan memecut laju akhirnya menyerah kalah kepada pemuda dari Alam Damai itu. Penulis segera menggancu mangsa dan ternyata pembukaan yang baik apabila seekor tenggiri skala 7kg tumpas.
Selang 10 minit, giliran Wan Amildin apabila kekili Shimano Tekota menjerit nyaring. Beliau yang dianggap sifu tenggiri tenang mengawal mangsa dan tumpas lagi seekor tenggiri skala 6kg. Ikan lain memang sukar dipancing di situ kerana tukun ini dibina oleh tekong untuk spesies tenggiri saja. Keadaan laut yang tidak berarus merencatkan usaha memancing sebanyak mungkin tenggiri. Cuma Badrolsham sekali lagi menewaskan seekor tenggiri 5kg sebelum pagi menjelma menjadikan jumlah terkumpul tujuh ekor.
Menjelang siang tekong meneruskan perjalanan dua jam lagi untuk ke lubuk ikan merah. Sauh tidak dijatuhkan, sebaik saja bot tiba di situ, tekong memberi isyarat dengan membunyikan hon. Tan di kanan belakang bot terus menyentap kuat jorannya sebaik saja umpan mencecah dasar. Jorannya membengkok tunduk ke laut. Karauan demi karauan dilakukan. Akhirnya seekor ikan merah pucat skala 5kg terus disauk oleh pembantu bot - Bob.
Ketika Tan sedang menggarau kekili, Uncle Lim turut menerima tekanan dari bawah apabila umpan tamban dilarikan mangsa. Beliau turut menewaskan ikan merah merah pucat saiz sebaya. Di lubuk itu, lima ekor merah ditewaskan oleh Wan Amildin, Toskhan dan penulis. Apa yang mengejutkan kami ialah saiznya ikan merah di sini semuanya purata 5 hingga 6kg.
Perjalanan diteruskan. Setiap lubuk yang disinggahi sudah pasti ada saja merah yang dinaikkan. Setiap lubuk kami berhenti antara lima hingga 10 minit saja. Tekong berkata, setiap lubuk yang beliau singgah memang dihuni oleh spesies ikan merah yang dikenali ‘merah lubang’. Ini kerana keadaan lubuk adalah dasar yang lekuk seakan-akan lubang,
Aktiviti malam kedua diteruskan untuk memancing tenggiri. Memang menjadi rutin kami hanya memancing tenggiri pada waktu malam dengan kaedah hanyut dan jigging. Tetapi faktor ketiadaan arus menyebabkan tenggiri sukar menyambar jig. Rahmat mendahului rakan lain menaikkan tenggiri 5kg di tangan pemilik rangkaian kedai emas KM Oli Mohamad ini. Beliau tersenyum puas kerana itu kali pertama beliau menewaskan tenggiri Sarawak. Malam itu hanya enam ekor tenggiri ditewaskan.
Hari terakhir tekong mengubah haluan menjejaki lubuk kerapu pula. Kaedah tetap sama iaitu tidak melabuhkan sauh. Sebaik tiba di lubuk, kami berlumba-lumba menurunkan umpan. Tajuddin Asia menjadi orang pertama menewaskan seekor kerapu pinang seberat 4kg dan diikuti Rahmat. Lubuk itu terdiri daripada struktur batu karang. Penulis menaikkan ikan kaci dan rata-rata pemancing berjaya menaikkan ikan. Tajuddin Asia lebih bertuah kerana berjaya menaikkan merah 4kg serentak dengan kaci saiz sama apabila menggunakan perambut apollo dengan dua mata kail.
Trip tiga hari dua itu dianggap berjaya walaupun faktor ketiadaan arus membataskan misi memburu lebih banyak tenggiri.
Umpan ikan tamban busuk nampaknya berjaya memujuk ikan memakannya. Apa yang menggembirakan kami ialah saiz ikan merah diperoleh kali ini rata-rata antara 5 hingga 7kg.
Sebanyak 33 ekor merah, 30 ekor kerapu, 13 tenggiri dan lima ekor kaci di samping jenahak dan jemuduk dibawa pulang.
Pemancing yang berminat merasai tarikan ganas merah Sarawak, hubungi Wan Amildin: 012-7091565.
|
|