Bernazar botakkan kepala, puasa dimakbul
Oleh Osman Lisut
 |
| TIGA JAGOAN: (Dari kiri) Amazoha, Roslan dan Mohd Ariff bergambar bersama tetamu kehormat pada majlis penutup serta penyampaian hadiah Karnival Bank Rakyat Joran 2008 di Pantai Puteri, Melaka, Ahad lalu. |
MELAKA: Ketika dalam perjalanan ke lokasi malam Sabtu lalu, Roslan Ali, meyakinkan rakannya, Osman Salleh, bahawa beliau bernazar akan membotakkan kepala dan berpuasa sehari jika menduduki mana-mana tangga daripada 63 pemenang pada Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2008, keesokannya.
Beliau berkata, sebagai orang Islam apabila bernazar, wajib ditunaikan dan beliau akan melakukannya apabila tiba di Muar, Johor nanti.
“Saya juga ada berjanji dengan Osman bahawa hadiah yang dimenangi siapa saja antara kami berdua dibahagikan sama rata. Malah, sebahagian daripada wang kemenangan itu akan didermakan kepada rumah anak yatim atau mereka yang memerlukan,” katanya yang merangkul RM15,000 ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Pantau Puteri, Ahad lalu.
Pemandu teksi dari Muar itu mendaratkan ikan kerapu seberat 1.13 kilogram kira-kira 15 minit sebelum tamat pertandingan dan sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 tajaan Bank Rakyat dan beberapa hadiah iringan daripada penaja antaranya, TCE Tackles, I’naz Design & Collection, Bidara Puteri Beach Resort, Maggi, Produk Orang Kampung dan The Seafarer Restaurant.
Tempat kedua dimenangi Amazoha Maznan, dari Kuantan, Pahang. Peserta berusia 34 tahun itu mendaratkan malong seberat 970 gram sekali gus membawa pulang RM8,000 dan pelbagai hadiah iringan, manakala ketiga dimenangi Mohd Ariff Hatt, 29, dari Bota, Perak yang memenangi RM5,000 menerusi tangkapan ikan semilang seberat 890 gram.
Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abd Latiff Tamby Chik.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat; Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Setiausaha Bank Rakyat, Datuk Rosely Shamsuri; Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainuddin Ayip; dan Pengarang Joran/Projek, Kamal Ahmad.
Karnival kali ketiga ini yang menawarkan RM40,000 itu dianjurkan Bank Rakyat dan Unit Joran, Berita Harian dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Sementara Amazoha yang ditemui memberitahu, minatnya terhadap memancing subur sejak kecil lagi dan tidak pernah ketinggalan menyertai pertandingan sama ada anjuran Unit Joran, Berita Harian mahupun penganjur lain.
“Saya dibesarkan dengan suasana kampung dengan laut dan sungai menjadi tempat mainan. Malah, ramai ahli keluarga saya meminati memancing, malah ada antara abang mempunyai sampan atau bot.
“Jadi, apabila mendengar ada pertandingan, kami bersama rakan lain akan pergi mencuba nasib. Syukur, setiap kali menyertainya ada saja hadiah dibawa pulang sama ada pertandingan mahupun cabutan bertuah,” katanya.
Beliau yang bekerja sendiri berkata, sebelum menyertai Karnival Memancing Bank Rakyat di Pantai Puteri, beliau pernah memenangi dua pertandingan di Terengganu dan yang tiap satu menawarkan hadiah RM20,000.
“Jadi, kunjungan ke Pantai Puteri hari ini (Ahad lalu) untuk memberi sokongan kepada Berita Harian dan menyertai rakan dari Pahang bagi mengisi masa lapang hujung minggu,” katanya.
Penganjur menawarkan 10 hadiah wang tunai RM400, masing-masing 10 pemenang masing-masing dengan hadiah RM300 dan RM200, manakala 30 pemenang ditawarkan hadiah RM100 tiap seorang.
Penaja lain ialah Boat Explorer, G-MotoSport, Nestle dan Zone Event Management.
FAKTA NOMBOR
Karnival Memancing Bank Rakyat-Joran 2008 di Pantai Puteri
80 - Gerai peniaga beroperasi
300 - Keluarga berkhemah
1,400 - Peserta dari seluruh negara
40,000 - Pengunjung dalam masa dua hari
|
|
| lain-lain artikel |
- Pekan, Sedili, Dungun syurga pancing 2008
- Husin, Zuraidi pandu pulang Perodua ViVA
- Selongkar Unjam Laut di perairan Nyireh
- Ebek dari belakang Tenggol
- Dungun mempunyai kelebihan tersendiri
- Tiga tenggiri sapu RM24,000
- GP Joran beri kesan positif kepada pelancongan
- Kelah Tasik Kenyir jadi produk pelancongan
- Ikan doktor rawat kulit
- 60 bot, 4,500 aksesori dipamer 11 hari
- 60 merah, kerapu Sarawak serah diri
- Peserta Terengganu kuasai 'Monica Bay'
- Jenahak kuasai carta, kerapu juara
- Pesta senohong di gelanggang GP
- Buru jenahak emas dalam lubang selat
- Bertandang ke lubuk bertuah
- Mohd Razali pemancing pertama menang RM15,000
- Peluang terbuka pancing ikan gred A
- Tebal pipi Tanjung Siang
- Pulau Banding syurga pemancing
- Kerapu bara, kara baham lumahan
- Buru ikan minyak, GT di Takarewataya
- Ekspedisi tumpaskan 101 merah
- Jagoan Pantai Puteri
- Ketumbang Sarawak
- Udang pasar pikat senohong Pulau Angsa
- Gerepoh Batu Kapas
- Kelah merah bertapa di Lata Papan
- Kertang serah diri di lubuk Nailookmee
- Kenduri ibu kerisi Koh Adang
|
|