Kelah Sungai Keniam tunggu sawit peram
Oleh Osman Lisut
KUALA TAHAN: Menempuh arus deras dengan terpaksa mengusung bot gentian kaca beberapa kilometer antara halangan yang terpaksa dihadapi Team Memerang Bentong, ketika menduga kelah (Tor tambroides) Sungai Keniam Kecil di Taman Negara Pahang, baru-baru ini.
KUALA TAHAN: Menempuh arus deras dengan terpaksa mengusung bot gentian kaca beberapa kilometer antara halangan yang terpaksa dihadapi Team Memerang Bentong, ketika menduga kelah (Tor tambroides) Sungai Keniam Kecil di Taman Negara Pahang, baru-baru ini.
Tambahan pula ketika trip berkenaan, air sungai surut dan perjalanan agak sukar apabila bot panjang tidak dapat melalui jeram-jeram kecil. Bagi mempercepatkan perjalanan, tekong terpaksa memunggah keluar barangan yang dibawa termasuk tong gas memasak.
Menurut tekong Razak, situasi itu adalah biasa kerana hanya cara itu saja yang dapat dilakukan. Bagi Team Memerang Bentong, Razif, Mislan, Jawahir, Arifin, Nazir, Karim Janggut, Abu Bakar dan penulis, mahu atau tidak terpaksa mereka bekerjasama memikul barangan serta kelengkapan berkenaan.
“Kalau macam ni, mau tercabut kepala lutut aku Pin (Ariffin),” kata Abu Bakar sambil meredah anak sungai yang air hanya sekadar paras buku lali.
“Tak apa, nanti kesukaran dan keletihan ini hilang bila sampai di lubuk Panjang, Lata Said dan Lima Minit. Kau tengok je kelah berenang kat situ... kau sudah teruja,” balas Arafin.
Selepas menempuh perjalanan hampir lima jam, bot membawa pemancing tegar berkenaan di tapak perkhemahan Lata Said. Masing-masing bekerjasama memunggah barang dan memasang khemah. Pada masa yang sama, Abu Bakar dan Tekong Sulaiman sibuk memasak juadah tengah hari, memandangkan masing-masing sudah lapar.
Sementara nasi masak, tekong Nordin. Nazir dan Karim Janggut mula menjejak Lubuk Panjang serta Lima Minit dengan seguni kelapa sawit peram sebagai ‘hadiah’ untuk Raja Sungai Keniam Kecil.
“Aku balik dua jam nanti.. kau orang masak dulu,” kata Karim Janggut.
Melihat rakannya mula memikul peralatan memancing, Arifin pula melabuhkan joran di Lata Said, dengan harapan terdapat kelah di lubuk itu sudi menjamah umpan kelapa sawit peram yang khas dibawanya dari Teras Jernang, Bangi. Nyata, amat berbaloi tidak sampai 10 minit, rentapan keras hingga menyebabkan kekili miliknya nyaris terhumban ke dalam sungai. Selepas bertarung hampir lima minit seekor seluang badan hampir sekilogram didaratkan.
“Wah, ikan besar nampaknya. Aku ingatkan kelah rupanya seluang bada.... goreng pun sedap,” katanya sambil diserahkan kepada Mislan untuk disiang.
Penulis yang turut mencuba nasib di lubuk itu sekadar memperoleh sebarau apabila kilat sesudu yang dilemparkan disambar si belang berkenaan. Sebarau itu juga menerima nasib yang sama disiang Mislan untuk digoreng bersama seluang bada.
Menurut tekong Razak, memancing kelah bukanlah sukar seperti disangkakan kerana pemancing perlu tahu penggunaan tali, mata kail dan umpan yang sesuai.
“Kebiasaannya apabila buah ara masak adalah waktu paling sesuai untuk memburu kelah, tetapi buah kelapa sawit juga digemari. Sebelum memancing saya dan juru arah menabur buah kelapa sawit yang diperam seminggu di lubuk yang dikenal pasti bagi memastikan kelah berkumpul sebelum keesokannya pemancing akan datang di kawasan berkenaan,” katanya.
Di hari kedua, Karim Janggut dan Arifin menunjukkan kepakaran masing-masing apabila berjaya menjinakkan kelah yang tidak kurang hebat saiznya.
“Selalunya, aku tidak pernah kecewa Man (Tekong Sulaiman). Paling tidak seekor mesti dapat buat lauk untuk kita makan dalam trip. Nah, siang ikan ni aku nak buat gulai tempoyak,” katanya sambil menyerahkan kelah seberat dua kilogram kepada Abu Bakar yang sibuk merakam gambar tangkapan berkenaan.
Sementara Arifin pula sibuk bermain dengan kelah seberat 3.7 kilogram yang dipancingnya di Lubuk Panjang.
“Hidup lagi ikan ni... aku rasa nak bawa balik untuk dipelihara,” katanya kepada Karim Janggut dan Jawahir.
“Suka hati kau lah... kau memang macam tu suruh makan ikan.. kau nak bela pula,” sampuk Jawahir.
Sejam kemudian, penulis pulang ke khemah bersama Nazir dan Razif selepas seharian keluar memancing dengan muka yang hampa.
“Ada makan, tetapi tersangkut kat reba kayu. Memang licik ikan ini.. aku sekadar dapat beberapa seluang bada,” kata penulis ketika berbual di tapak perkhemahan. Ada masa lagi, esok kita cuba ke lubuk lain. Kita mudik ke bawah pula,” kata Arifin kepada tekong Razak, sebelum masuk tidur.
Hari ketiga, kami dikejutkan dengan aksi ganas sebarau menyambar anak ikan di Lata Said. Razif dan Jawahir segera memasang rapala dan melemparkan ke arah sebarau berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang tindak balas.
“Sebarau kat sini masuk sekolah beb... tak mainlah umpan tiruan,” sergah Karim Janggut, sambil disambut gelak ketawa rakan-rakan yang lain.
Sehingga ke petang, Razif, Mislan, Jawahir, Arifin, Nazir dan Karim Janggut pulang dengan hati yang ceria. Masing-masing menunjukkan seekor kelah yang berjaya didaratkan.
“Akhirnya aku dapat lesen yop,” kata Mislan dan Razif yang pertama kali turun memancing kelah Sungai Keniam.
Kesemua ikan dibahagi sama rata termasuk penulis dan Abu Bakar untuk masing-masing merasai keenakan dagingnya. Walaupun gagal menewaskan Raja Air Tawar itu, Abu Bakar berhasrat untuk datang sekali lagi ke sini dengan membawa peralatan yang sesuai.
|
|