Bersenam tingkatkan kesihatan
Oleh Nuri Angkasa
RAMAI orang bertanya terutama kalangan kaki pancing, bila Pak Nuri hendak bersara daripada aktiviti memancing kerana usia Pak Nuri sudah mencecah 75 tahun dan malam esok (17 Mei) akan menyambut Majlis Jubli Emas 50 tahun perkahwinan.
Terus terang Pak Nuri katakan melalui Petua Pak Nuri bahawa belum ada noktah untuk berpisah dengan laut atau ringkasnya hendak menggantung batang joran. Ini kerana laut adalah daerah paling mencabar dan banyak mendidik manusia jadi berani, tabah serta berjaya mengekalkan tahap kesihatan yang lebih baik jika dibandingkan di darat yang sentiasa sibuk.
Laut mengajar kita menjadi seorang yang penyabar dan bertindak pantas sambil sentiasa berwaspada setiap masa. Kerana itu memancing di laut adalah satu aktiviti yang banyak melakukan senaman dan memberi kesihatan badan atau secara tidak langsung menggerakkan minda kita terus berkerja.
Usia 50 tahun perkahwinan Pak Nuri bukan satu masa yang pendek. Namun Alhamdulillah, kami dapat bertahan dalam suasana harmoni walaupun sering meninggalkan rumah turun memancing di laut.
Persefahaman antara suami dan isteri yang berkait rapat dengan kehendak masing-masing perlu ada sebelum diangkat menjadi pasangan suami isteri. Sesudah itu, berilah keyakinan bahawa suami (anda) benar-benar pergi memancing di laut dengan membawa pulang ikan yang ditangkap hasil titik peluh sendiri dan bukan ikan yang dibeli di pasar.
Memberi keyakinan kepada isteri amat penting. Ini kerana keyakinan isteri adalah doa paling mujarab dan diperkenankan Allah.
Apa yang hendak Pak Nuri perkataan kali ini ialah senaman ringan ketika berada dalam bot. Senaman ini perlu dilakukan oleh kaki pancing sama ada ketika melakukan ekspedisi memancing dalam tempoh lama atau pun singkat di laut.
Senaman individu dilakukan sebaik saja selepas anda bangun tidur pada awal pagi dengan menyedut udara laut yang masih segar. Lakukan gerak badan hingga dapat mengeluarkan peluh dan berehat beberapa ketika selepas itu.
Air suam atau air masak mati perlu diminum dengan banyak sambil mengambil sarapan ringan. Insya-Allah tenaga baru, anda dapat bertahan lama ketika berada di laut. Ini sekali gus akan membolehkan anda merasakan nikmati aktiviti memancing dengan penuh rasa selesa.
Justeru, jadikan senaman ini sebagai petua untuk menjaga kesihatan yang berterusan.
|
|