Joran

Joran » Petua

Ikhlas membantu ada ganjaran

Oleh Nuri Angkasa

MELAKUKAN sesuatu yang baik ketika mula melangkah meninggalkan rumah untuk sesuatu perjalanan jauh terutama mencari rezeki atau ketika dalam perjalanan adalah sesuatu yang dituntut oleh agama Islam. Kebaikan itu pastinya mendapat ganjaran daripada Allah.

Apa yang Pak Nuri maksudkan dengan melakukan sesuatu yang baik ialah setiap pemergian kita disenangi keluarga terutama isteri dan anak sentiasa mendoakan keselamatan kita pergi mahupun balik. Namun, dalam usaha kita mengatur perjalanan tentunya akan berdepan dengan berbagai halangan sama ada perjalanan itu pada waktu siang atau malam. Kadangkala kita berdepan dengan keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat atau ribut petir.

Jika keadaan ini berlaku, pemancing yang memandu kenderaan dinasihatkan supaya tidak meneruskan perjalanan sekalipun waktu tempahan bot untuk turun memancing sudah tiba masanya. Mengambil kira keselamatan diri adalah lebih penting daripada terus memburu masa yang bakal meletakkan diri kita pada kedudukan bahaya atau keadaan yang lebih buruk.

Satu perkara lagi, jika perjalanan anda dihalang oleh sesuatu kemalangan jalan raya di hadapan anda, apa perlu anda lakukan? Apakah anda akan meneruskan perjalanan atau berhenti untuk memberi pertolongan? Jawapan paling tepat untuk anda lakukan atas dasar tanggungjawab dan peri kemanusiaan ialah anda wajib memberi pertolongan kepada mangsa yang ditimpa kemalangan. Ini wajib dilakukan sekalipun perjalanan anda ke destinasi memancing masih jauh dan waktu tempahan bot sudah hampir tiba masanya.

Anda perlu mengutamakan pertolongan bagi menyelamatkan nyawa mangsa sebelum ada orang lain yang dapat membantu. Ini kerana mungkin pertolongan pantas anda dapat menyelamatkan nyawa mangsa yang terbabit. Atau, paling tidak anda sudah melakukan kebaikan terhadap sesama manusia dengan memberikan harapan paling disukai oleh Allah.

Amalan ini dapat dijadikan petua supaya setiap perjalanan yang berdepan dengan apa saja halangan di hadapan laluan kita. Langkah pertama mesti memberi pertolongan dengan apa cara sekalipun atau menangguh masa untuk turun memancing kerana memancing adalah satu aktiviti kegemaran individu sedangkan memberi pertolongan bagi menyelamatkan nyawa sesama manusia adalah satu tanggungjawab wajib yang mesti di lakukan.

Kesimpulan daripada peristiwa ini, Pak Nuri terus terang mengharapkan supaya semua kaki pancing dapat mengamalkan sikap suka memberi pertolongan sebagai satu petua. Selepas itu, barulah anda meneruskan perjalanan ke lokasi memancing. Insya-Allah ganjaran baik daripada Allah akan anda peroleh.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.