Kecil susah, besar pula 'komplen'
DAH lama sangat rasanya Sally tak membebel pasal kaki pancing. Akibatnya, ramai juga rakan yang tertanya-tanya kenapa Sally tak menulis sejak kebelakangan ini. Seperti biasa, akan adalah suku-sakat kaki pancing yang mereka-reka gosip liar mengatakan Sally ada masalah dengan orang-orang di Joranlah dan macam-macam lagi cerita karut. Mujurlah Sally bukan spesies selebriti yang dikenali ramai macam Fasha Sandha atau Fazura. Kalau tidak, tentu susah juga hidup Sally jadinya.
Tiada apa-apa yang berlaku. Sally bukan mogok mengarang atau menulis seperti yang disangkakan. Sebenarnya memang sengaja Sally mahu berehat daripada menulis perihal kehidupan kaki pancing untuk beberapa ketika. Dalam kata lain, Sally ingin ‘bercuti’ sekejap daripada memikirkan pasal kaki pancing. Bagaimanapun Sally tak nafi pernah beberapa kali mengecek pada Sang Bedal minta kebenarannya agar Sally tidak payah lagi menulis untuk ruangan ini.
Macam-macam alasan Sally beri. Banyak kerjalah, dah tak ada idealah, sudah bosan dengan kerenah kaki pancinglah dan macam-macam lagi. Tapi Sang Bedal pujuk Sally agar tak berhenti menulis. Katanya, orang lain lagi lama menulis, malah ada yang sudah berpuluh tahun mempunyai kolum. Katanya lagi, takkan Sally nak beri peluang kepada Pok Hing untuk bermaharajalela dengan idea-idea merapunya itu.
Ingin Sally katakan di sini bahawa tempoh ‘tidak menulis’ untuk beberapa minggu yang lalu memang amat menyeronokkan bagi hidup Sally. Lapang rasanya dada dan minda kerana tidak perlu memikirkan pasal kehidupan penagih joran yang entah apa-apa ini. Masa yang senggang itu Sally gunakan dengan menonton siri drama Korea dan sinetron Indonesia di Astro. Akibatnya, anak-anak Sally jadi naik hairan kerana sebelum ini Sally memang anti dengan drama Korea yang tak henti-henti menangis dan sinetron pula hidangkan cerita yang mengarut-meraban plotnya.
Tapi Rabu lalu, apabila si Mamat, rakan rapat Pok Hing bercerita kepada Sally pasal perangai buruk segelintir kaki pancing yang menyertai GP Joran di perairan Selangor baru-baru ini, minat Sally untuk menulis mengenai spesies yang tak berapa senonoh ini bagaikan berputik kembali. Hendak dijadikan cerita, menurut Mamat, memang wujud sedikit masalah ketika GP Joran di Selangor baru-baru ini, terutama masalah bot. Tapi yang menjadi pokok persoalan bukanlah pasal isu tak cukup bot atau sewa bot terlalu mahal, tapi kerana ada peserta tak seronok pasal saiz bot.
Kata Mamat lagi, mereka merungut kerana terpaksa menaiki bot yang dianggap terlalu besar! Apabila bot besar sangat, ada pemancing dakwa mereka menghadapi kesukaran untuk memancing. Sebenarnya Sally bingung dan tak faham dalam hal ini. Sebelum ini, di GP Joran tempat lain, ada peserta yang merungut dan bantah tak puas hati kerana berasa bot mereka kecil sangat. Mereka dikatakan terpaksa berasak-asak di atas bot ketika di laut.
|
|