Joran

Joran » SangBedal

Waspada mengenai bahaya kolam, pasir jerlus



DALAM seminggu dua kebelakangan ini, beberapa kes membabitkan kanak-kanak lemas di sungai dan kolam berlaku. Malang memang tidak boleh diduga bila, bagaimana dan di mana akan berlaku. Tetapi sebagai insan dan diberi naluri, rasa dan keupayaan berfikir maka perlulah kita berhati-hati, merancang dan cuba mengelakkan tragedi daripada menimpa.

Beberapa tebing Sungai Pahang memang terkenal dengan kawasan pasir jerlus. Mungkin ada yang berhampiran kawasan penempatan atau hanya di belakang rumah penduduk. Jadi, pastikan anak-anak diajar mengenai kawasan itu. Tanamkan kewaspadaan dan semaikan dalam pemikiran mereka bahawa pasir jerlus bukan tempat sesuai untuk bermain.

Juga, pastikan kolam atau perigi di kawasan rumah kita berpagar atau bertembok. Jika tidak berfungsi, timbus saja sekali gus tindakan itu menyelamatkan banyak pihak - mungkin anak, adik atau sesiapa saja di kalangan jiran kita. Alangkah dalam besen mandi dengan air 5 sentimeter dalam pun kanak-kanak boleh lemas, inikan pula jika terjatuh ke dalam sungai, parit, kolam mahupun perigi.

Di keliling rumah kita lazimnya ada kolam ikan terbiar. Ketiadaan tempat bermain atau jadual sesuai untuk kanak-kanak menyebabkan mereka ‘meredah’ sekeliling tepi rumah untuk mencari apa saja yang boleh mereka main. Akhirnya mereka mula membaling batu dan kayu ke dalam peri, kolam atau parit kemudian berakhir dengan tragedi.

Sang Bedal yakin kehebatan seorang kanak-kanak atau remaja mahupun orang dewasa berenang belum menjamin dia selamat jika dia tiba-tiba mengalami kemalangan yang mendorong dia panik dan akhirnya lemas. Panik kerap meragut nyawa mangsa. Panik terjatuh ke dalam yang mungkin setengah atau suku meter pun boleh membawa lemas.

Jadi, Sang Bedal berharap mana-mana kolam ikan terbiar yang tidak ada rancangan untuk digunakan, timbus sajalah demi keselamatan khususnya kanak-kanak. Peringatan ini mungkin boleh dipandang sinis atau tidak penting tetapi hanya mengakui kebenarannya bila ada nyawa yang melayang di situ.

carian artikel
lain-lain artikel
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Joran Online.
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Network & Multimedia Services.
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.