Jumaat, 14 Julai 2017 | 1:37pm
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SPRM siasat FIC beli hotel di London

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

Siasatan dibuat susulan maklumat baharu diperoleh dalam siasatan terhadap FELDA.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, mengarahkan pasukan penyiasat bertindak atas maklumat itu.

"Pasukan penyiasat mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel itu dan dalam proses menilai serta meneliti semua maklumat diperoleh.

"Berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa saksi penting akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

223 dibaca
Berita Harian X