Isnin, 17 Julai 2017 | 2:25pm

Lelaki dipenjara 30 bulan seludup migran

ALOR SETAR: Seorang pekerja pendawaian elektrik dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi hari ini, atas kesalahan menyeludup dua warga Myanmar dari Bukit Kayu Hitam di sini, pada Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Rohaizam Ramli, 27, mengaku bersalah atas tuduhan itu dan menetapkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditahan.

Rohaizam dituduh menjalankan penyeludupan migran ke atas seorang lelaki dan wanita warga Myanmar di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS arah utara, Bukit Kayu Hitam jam 8.45 pagi, 7 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26J, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan didenda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

123 dibaca
Berita Harian X