Isnin, 17 Julai 2017 | 4:56pm

Penjara 2 tahun ceroboh rumah bekas isteri

SANDAKAN: Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah menceroboh rumah bekas isterinya.

Tertuduh, Maisal Mohamad, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Suhaila Selag selepas tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya.

Maisal dituduh menceroboh rumah bekas isterinya di Taman Harmoni, 14 April lalu dengan memecahkan pintu rumah meminta wang dan mengugut membunuh bekas isterinya selepas permintaannya tidak ditunaikan.

Susulan kejadian itu, wanita berusia 40 tahun itu bersama sembilan lagi anaknya keluar dari rumah dan menumpang di rumah keluarga mereka.

Mengikut fakta kes, tertuduh sering ke tempat kerja bekas isterinya meminta wang dan pengadu membuat laporan polis pada 29 April lalu selepas mendapati beberapa barangan termasuk tong gas dan pengisar makanan hilang dari rumah dipercayai dijual.

Tertuduh ditangkap pada hari yang sama dan siasatan awal mendapati tertuduh berkahwin dengan isterinya pada 1995 sebelum bercerai dua tahun lalu kerana tertuduh tidak bekerja, selain terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintendan Tan Hiap Wah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

507 dibaca
Berita Harian X