Isnin, 17 Julai 2017 | 5:00pm

Gading gajah RM300,000 dirampas di KLIA

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 36 kilogram gading gajah yang siap diproses dianggarkan bernilai RM300,000.

Pengarah Kastam JKDM KLIA, Datuk Hamzah Sundang, berkata gading gajah yang dirampas itu tiba di KLIA pada jam 10.30 malam, Jumaat lalu.

Katanya, gading gajah itu dibawa oleh seorang suspek lelaki warga Vietnam yang tiba di KLIA menerusi penerbangan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa, Ethiopia ke Kuala Lumpur.

"Ketika ditahan, suspek didapati membawa tiga bagasi yang bila diimbas menampakkan imej mencurigakan.

"Imbasan menunjukkan dua daripada bagasi berkenaan mempunyai 10 bungkusan gading gajah siap diproses atau semi produk yang disorok dalam beg berkenaan menggunakan guni plastik," katanya di Kompleks Kastam KLIA, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, ini adalah kali ketiga suspek masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelancong dan berkemungkinan turut menjalankan kegiatan yang sama ketika lawatannya sebelum ini.

"Suspek berkenaan kini direman selama 14 hari yang akan berakhir pada 28 Julai ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

234 dibaca
PENGARAH Kastam KLIA, Datuk Hamzah Sundang (dua dari kiri) ketika menunjukkan gading gajah berbentuk separuh siap yang dianggarkan bernilai RM 300,000 ribu semasa sidang media dan turut bersama Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan KLIA, Abdul Wahid Sulong (kiri) di Kompleks Kastam KLIA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X