Isnin, 17 Julai 2017 | 5:23pm
KETUA Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar. - Foto Zulaikha Zainuzman

Pegawai Khas ADUN didakwa esok

GEORGETOWN: Pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan mencabul seorang pelayan pusat hiburan, esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya akan memaklumkan perkara itu melalui peguam bela yang mewakili suspek.

"Kita sudah menerima persetujuan daripada pihak Pegawai Pendakwa Negeri dan akan menghubungi peguam bela suspek untuk memaklumkan perkara ini.

"Lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Minggu lalu, lelaki berusia 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan kes cabul seorang pelayan sebuah pusat hiburan di sini, selepas dia hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu didakwa mencabul seorang remaja perempuan berusia 21 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta di parkir pusat hiburan terbabit, kira-kira jam 11 malam, 6 Jun lalu.

Difahamkan, suspek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertindak memegang dada dan kemaluan mangsa sebelum menawarkan sejumlah wang kepadanya.

Berita Harian X