Isnin, 17 Julai 2017 | 5:24pm
SEBAHAGIAN daripada nelayan Vietnam yang ditahan dalam Ops Pagar Laut yang dilakukan APMM di sepanjang perairan Terengganu. - Foto Zaid Salim.

Rampasan RM34j dalam Ops Pagar Laut

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menahan 17 bot nelayan asing dan merampas bot serta peralatan keseluruhan bernilai RM34 juta sepanjang Ops Pagar Laut bermula bulan lalu.

Pengarah Laksamana Pertama Maritim, Wilayah Maritim Timur, Datuk Mamu Said Alee, berkata sepanjang tempoh sebulan ops berkenaan dijalankan bermula dua minggu sebelum perayaan Aidilfitri, seramai 87 nelayan asing terdiri daripada warga Vietnam, Thailand dan Indonesia berusia 21 hingga 60 tahun turut ditahan.

Beliau berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada pemeriksaan 600 bot nelayan tempatan dan asing yang dijalankan setiap hari sepanjang ops berkenaan oleh pasukan APMM Wilayah Timur.

"Malah, hasil Ops Pagar tahun ini, kita dapati terdapat peningkatan tangkapan berbanding tahun lalu memandangkan kita memperoleh pertambahan aset untuk melakukan operasi termasuk bantuan daripada Unit Udara APMM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Terengganu, Ibu Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9), Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh kepada Kapten Maritim Rahim Ramli di sini, hari ini.

Rahim yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Sabah, menggantikan Zainolabidin yang bersara wajib.

Mamu berkata, sebanyak tujuh aset ditempatkan di kawasan panas yang sering berlaku penceobohan nelayan asing setiap hari.

"Malah, masalah membabitkan pencerobohan bot klon juga berlaku. Hasil pemeriksaan yang dibuat kita dapati sebanyak 45 peratus bot nelayan asing diubah suai untuk mengaburi pihak berkuasa dan masuk menangkap ikan di kawasan perairan kita.

"Bagaimanapun, dengan bantuan nelayan tempatan, kita berjaya menahan bot klon ini," katanya.

Berita Harian X