Isnin, 17 Julai 2017 | 5:44pm

Lelaki cederakan askar kena jel 2 tahun


AMINUDIN Mohamad, (tengah) dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan anggota tentera dalam cubaan rampasan senjata di sebuah kem di Kuala Nerus pada Februari lalu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas dia mengaku salah mencederakan seorang anggota tentera di sebuah kem di Kuala Nerus, Februari lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Aminudin Mohamad, 41, yang juga bekas anggota tentera, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Bandar Permasuri, Setiu, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zaimi Mohd Jalani, 29, dengan sebilah pisau di pos pintu utama Kem Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai, Kuala Nerus jam 1.55 tengah hari, 10 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

BH sebelum ini melaporkan seorang anggota tentera cedera di belakang leher selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki dalam cubaan merampas senjata mangsa iaitu selaras senapang jenis HK-MP5.

Hasil siasatan polis mendapati suspek pernah dibuang kerja sekitar 2006 berikutan masalah psikologi dan pernah mendapat rawatan di Kem Terendak Sungai Udang, Melaka.

Bagaimanapun polis mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan Daesh dan lelaki terbabit juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

1686 dibaca
Berita Harian X