Khamis, 20 Julai 2017 | 11:38pm
PASUKAN HAZMAT melakukan pemeriksaan dan pembersihan kawasan yang dipercayai terdedah bahan kimia di sebuah universiti swasta di Seri Iskandar. - Foto ihsan Bomba
PASUKAN HAZMAT membersihkan dan memeriksa kawasan yang dipercayai terdedah kepada bahan kimia berkenaan. - Foto ihsan Bomba

Pensyarah warga Iran ditemui mati

SERI ISKANDAR: Seorang pensyarah lelaki warga Iran ditemui mati di sebuah universiti swasta di sini, dipercayai berpunca bahan kimia.

Kejadian itu menyebabkan khidmat Bomba dan Penyelamat digunakan bagi membersihkan dan memeriksa kawasan yang dipercayai terdedah kepada bahan kimia berkenaan.

Sumber berkata, mangsa berusia 40-an dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah sebelum dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat esok.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai tumpahan bahan kimia di universiti terbabit pada jam 11.30 pagi.

"Bomba menerima panggilan dari pihak polis yang memaklumkan berlaku kejadian tumpahan raksa di ruangan koridor dan pejabat di pusat pengajian terbabit.

"Sebaik tiba di lokasi didapati pihak polis dan hospital sudah berada di kawasan kejadian.

"Pasukan HAZMAT (Unit Bahan Berbahaya) masuk untuk membuat pemeriksaan sebelum berjaya menemui kesan muntah manusia yang bercampur dengan bahan bersinar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui sebotol bahan merkuri sulfat di dalam rak di ruangan pejabat berhampiran.

"Anggota HAZMAT bertindak membuat penandaan di kawasan itu dan seterusnya mengambil sampel muntah dan juga botol mengandungi bahan kimia terbabit sebelum menyerahkannya kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

"Pembersihan sekitar kawasan kemudian dilakukan dengan menggunakan cecair peluntur sehingga bersih sebelum operasi tamat jam 5 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Bedah siasat masih belum dilakukan dan punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas ia dijalankan di HRPB esok," katanya

9428 dibaca
Berita Harian X