Jumaat, 4 Ogos 2017 | 11:21pm
DATUK Acryl Sani Abdullah Sani.- Foto Hafiz Sohaimi

Empat sindiket along tumpas, 29 ditahan

KUALA LUMPUR: Empat sindiket pemberi pinjaman wang haram atau along tumpas dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bermula Ahad lalu sehingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata seramai 29 ahli sindiket termasuk dua wanita ditahan dalam operasi khas yang jalankan oleh Bahagian Risikan dan Operasi jabatan berkenaan.

"Kesemua suspek adalah rakyat tempatan dan empat sindiket along ini dikesan aktif menjalankan kegiatan mereka di sekitar Lembah Klang.

"Selain tangkapan, kita turut merampas pelbagai kad ATM, wang tunai, telefon bimbit dan peralatan komputer," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes membabitkan along dengan tumpasnya empat sindiket berkenaan sejak 2015 sehingga tahun ini.

"Semua suspek direman dan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut berkongsi kejayaan terbaru JSJK Bukit Aman itu di laman Twitternya, sebentar tadi.

"Syabas lagi JSJK Bukit Aman @PDRMsia tangkap 29 orang, lumpuhkan 4 kumpulan Along di sekitar Lembah Klang. selesaikan sekurang-kurangnya 9 kes. #GoPDRMGo," katanya.

373 dibaca
Berita Harian X