Jumaat, 11 Ogos 2017 | 7:40pm
DUA orang maut dipercayai di hempap plantar kren yang tumbang petang tadi. Kejadian berlaku di sebuah tapak projek perumahan Taman Capital Kuching membabitkan seorang lelaki berbangsa melayu dan seorang wanita berbangsa iban. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Dua maut dihempap kren tumbang

KOTA SAMARAHAN: Dua pekerja, seorang daripadanya wanita, maut selepas dihempap kren di tapak projek perumahan di Taman Capital Tanjung Tuang, di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhammad Bake, 49, dari Kampung Melayu, Samarahan dan Helen Suma Gilbert dari Kampung Moyan Lidang, Asajaya, maut di lokasi kejadian jam 3.50 petang.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.55 petang.

Beliau berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera dan sebuah kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, dikejarkan ke tempat kejadian.

"Ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian pada jam 4.11 petang, mayat mangsa lelaki sudah berjaya dikeluarkan manakala mayat mangsa wanita masih tersepit di bawah kren," katanya.

Beliau berkata dua jentolak digunakan untuk mengalihkan runtuhan dan mengangkat bahagian kren yang menghempap mangsa.

Ling Hii berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

1285 dibaca
Berita Harian X