Sabtu, 12 Ogos 2017 | 11:45pm
MOHD Sukri (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas daripada kumpulan remaja yang ditahan dalam Op Khas Sukan SEA di sekitar KLCC.

Op Khas Sukan SEA, 249 remaja ditahan


REMAJA yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk proses dokumentasi dan ujian air kencing.

KUALA LUMPUR: Seramai 249 remaja dan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun ditahan dalam Op Khas yang dijalankan sempena temasya Sukan SEA ke-29 di sekitar KLCC, hari ini.

Operasi yang bermula jam 3 petang membabitkan empat pegawai dan 70 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata operasi dibuat susulan aduan dan maklumat mengenai kehadiran kumpulan remaja yang dikatakan mengganggu keselamatan orang awam terutama pelancong di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kumpulan remaja terbabit, pihaknya merampas tujuh bilah pisau dan satu buku lima yang disyaki digunakan mereka untuk melakukan kegiatan jenayah selain satu biji pil Erimin 5.

Turut ditemui adalah sepaket dadah disyaki jenis syabu yang dipercayai dibuang remaja terbabit ketika operasi dijalankan.

"Operasi ini akan diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain dalam Daerah Dang Wangi terutama di Bukit Bintang kerana kawasan itu turut menjadi tumpuan pelancong.

"Operasi ini bertujuan mewujudkan suasana aman terutama menjelang temasya Sukan SEA tidak lama lagi.

"Saya juga menyeru supaya remaja-remaja ini menjaga tingkah laku serta menghormati orang lain," katanya pada sidang media selepas operasi tamat, tadi.

Katanya, semua 166 remaja lelaki dan 83 perempuan yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi bagi tujuan dokumentasi dan ujian air kencing.

"Semakan akan turut dibuat bagi mengenal pasti kemungkinan ada antara mereka terbabit dengan kegiatan jenayah sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya.

9340 dibaca
Berita Harian X