Ahad, 13 Ogos 2017 | 2:48pm

Tiga maut nahas kereta bertembung

PERMAISURI: Tiga maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua Proton Wira di Kilometer 66, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Pak Kancil di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang, Koperal Faiezal Abdul Kayim, 42, dan rakannya, Ahmad Zaki Baharudin, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu, Hizami Abd Halim, 32, dilaporkan cedera.

Pemandu sebuah lagi Proton Wira, Nur Lyza Syahira Ahmad Hazly, 17, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Setiu.


Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat mangsa kemalangan di Kilometer 66 Jalan Kuala Terengganu- Kota Bharu di Kampung Pak Kancil, pada awal pagi ini. Dua buah kereta bertembung dari arah bertentangan menyebabkan tiga maut dan tiga cedera. - Foto NSTP/FB

Dua penumpangnya, Muhamad Hasrah Abdullah, 17, cedera manakala Nur Laila Zukiman, 15, dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata Proton Wira dinaiki Faizel dan dua rakannya dari arah Kuala Terengganu-Kota Bharu dikatakan bertembung Proton Wira dinaiki tiga remaja berkenaan.

"Perlanggaran menyebabkan Proton Wira dinaiki tiga lelaki termasuk anggota polis itu tercampak ke kanan jalan menghala Kota Bharu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

dibaca
Berita Harian X