Ahad, 13 Ogos 2017 | 3:52pm

Permohonan semakan reman EXCO ditolak

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan semakan untuk membatalkan reman lima hari ke atas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, semalam.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

"Permohonan sepatutnya difailkan di Pulau Pinang dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang adalah forum lebih sesuai," katanya.


Peguam Ramkarpal Singh (kiri) dan RSN Rayer yang mewakili ahli Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh tiba di Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk memfailkan permohonan semakan bagi membatalkan perintah tahanan reman lima hari ke atas Phee oleh Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan berhubung operasi kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Peguam Boon Pooh berpendapat, keputusan reman Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown, Ameera Mastura Khamis, tidak teratur dan tidak sah kerana dibuat tanpa mendengar hujah peguam mewakili Boon Poh, pengarah serta pengurus kilang terbabit.

Kelmarin, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus sebuah kilang, ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Ia susulan serbuan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kilang memproses habuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon, Khamis lalu.

Penahanan Boon Poh dikatakan dibuat berdasarkan beberapa surat arahan sama yang dikemukakan dan ditandatangani EXCO berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menangguhkan sebarang tindakan ke atas pengarah serta pengurus kilang haram terbabit, tahun lalu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala Boon Pooh diwakili peguam Ramkarpal Singh, R S N Rayer dan Dev Kumareandan.

1731 dibaca
Berita Harian X