Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:10pm

JSPT KL nafi pegawai penyiasat terima suapan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan seorang pengguna Facebook kononnya pegawai penyiasat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerima suapan bagi satu kes kemalangan, Mac lalu.

Penafian dibuat Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, susulan entri dimuat naik lelaki menggunakan nama 'Man Tyson' di akaun Facebook miliknya pada 10 Ogos lalu, menjadi viral di media sosial.

Entri itu mendapat pelbagai komen negatif daripada netizen yang menyalahkan polis tanpa mengetahui perkara sebenar.

Menerusi entri itu, lelaki berkenaan mendakwa pegawai penyiasat yang mengambil laporan kes belum mengambil tindakan terhadap pemandu kereta yang melanggarnya walaupun sudah beberapa bulan berlalu.

Dia turut mendakwa gagal membuat tuntutan kerana cukai jalan dan insurans kereta itu dikatakan sudah tamat tempoh manakala pemandu kereta iaitu seorang wanita dipercayai mabuk ketika kejadian berlaku.

Lelaki itu turut mendakwa tidak dilayan pegawai penyiasat berkenaan ketika hadir ke balai untuk membuat laporan semula, namun tidak menyatakan tarikh tepat berbuat demikian.

Mohd Nadzri berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi pada 7 Mac lalu di Jalan Maharajalela dari arah Cheras menghala Jalan Imbi, membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar kon kerja penyelenggaraan.

Katanya, ia kemudian merempuh seorang lelaki dan sebuah motosikal ydi bawah Stesen Monorel Maharajalela.

"Mangsa yang bertugas sebagai pengawal bendera syarikat swasta yang menjalankan kerja menyelenggara trek monorel berkenaan patah kaki kiri.

"Berdasarkan siasatan, kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu kereta dan semakan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan itu sudah tamat tempoh.

"Berikutan itu, dua saman dikeluarkan pegawai penyiasat terhadap pemandu Perodua Myvi itu pada 8 April lalu mengikut Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Rule 10 LN Kaedah-Kaedah Lalu lintas 1959.

"Justeru dakwaan 'Man Tyson' kononnya pegawai penyiasat menerima hadiah daripada pemandu kereta itu adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, dakwaan mengenai pemandu wanita mabuk ketika kejadian tidak boleh diterima kerana ia sekadar keterangan dengar cakap dan tiada keterangan sokongan untuk mengesahkannya.

"Mengenai dakwaan sukar berurusan dengan pegawai penyiasat, polis tidak menolak sebarang laporan yang dibuat," katanya.

Katanya, tiada halangan bagi mangsa membuat tuntutan sivil terhadap pemandu walaupun cukai jalan dan insurans kenderaan itu sudah tamat tempoh, malah dia berhak melantik peguam bagi tujuan terbabit.

Dalam pada itu, menerusi entri terbaru yang dimuat naik, lelaki itu membuat permohonan maaf kepada polis atas kenyataannya sebelum ini, selain turut memuat naik kenyataan media Ketua JSPT Kuala Lumpur.

1048 dibaca
Berita Harian X