Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:44pm

Anak kapal dikhuatiri hilang di sungai

BINTANGOR: Seorang anak kapal dikhuatiri hilang selepas keluar daripada kapalnya di Sungai Mupong Ulu di sini, sejak Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Hussien Mahli, 50, dipercayai meninggalkan kapal berkenaan menggunakan perahu atas urusan kerja.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak kembali ke kapal dan rakannya yang bimbang membuat laporan di Balai Polis Meradong pada jam 11.47 pagi tadi.

"Susulan laporan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor bersama polis bergegas ke lokasi kira-kira 40 minit menggunakan bot dari Bintangor itu.

"Pasukan mencari dan menyelamat tiba di lokasi pada jam 1.30 tengah hari. Bagaimanapun sepanjang perjalanan, anggota tidak menemui perahu yang dipercayai digunakan lelaki itu ketika keluar dari kapalnya kelmarin," katanya.

Katanya, operasi ditangguhkan pada jam 4.25 petang tadi.

"Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu singgah di tempat lain, namun operasi akan diteruskan esok bagi mengumpul lebih banyak maklumat mengenai mangsa," katanya.

200 dibaca
Berita Harian X