Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:49pm
MAHKAMAH Sesyen dan Majistret Alor Setar

Pejabat mahkamah diceroboh

ALOR SETAR: Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret Alor Setar di sini, didapati dipecah masuk dan disedari ketika kakitangan mahu memulakan tugas, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail, berkata kejadian disedari kakitangan pejabat terbabit menghubungi polis pada jam 8.30 pagi.

"Suspek dipercayai memanjat tangga mahkamah untuk menceroboh pejabat pendaftar melalui tingkap kerana tiada kesan pecah pada pintu.

"Suspek dipercayai mencari sesuatu di bilik pendaftar kerana hanya laci yang diselongkar manakala fail tidak diusik," katanya.

Yazri berkata, sepasukan polis dan forensik melakukan siasatan bagi mendapatkan cap jari dan bahan bukti lain.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanpa mencuri," katanya.

618 dibaca
Berita Harian X