Ahad, 13 Ogos 2017 | 10:00pm
BANJIR lumpur di Jalan Gua Musang - Lojing dekat Pos Blau menyebabkan laluan itu ditutup kepada semua kenderaan. - Foto Ramli Ibrahim

Banjir lumpur di Pos Blau

GUA MUSANG: Berpuluh kenderaan terkandas di Kilometer 185 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Pos Blau akibat banjir lumpur petang tadi.

Kejadian jam 6 petang itu susulan hujan lebat selama tiga jam sehingga menyebabkan saliran parit tersumbat dan air melimpah ke jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA), Pos Blau, Salleh Angah, berkata banjir lumpur itu adalah kali kedua di lokasi sama selepas kejadian pertama pada 9 Mei lalu.

Beliau berkata, ia dipercayai berpunca daripada pembukaan tanah tidak terkawal menyebabkan berlaku hakisan sehingga air bertakung di jalan.

"Setiap kali banjir lumpur di lokasi itu, ia mengambil masa antara tiga hingga lima jam untuk surut," katanya.

Dalam kejadian Mei lalu, seorang pemandu lori nyaris lemas apabila kenderaannya dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui jalan dipenuhi banjir lumpur itu pada jam 5.30 pagi.

Bagaimanapun, pemandu terbabit yang dalam perjalanan dari Lojing ke ke Gua Musang sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan tinggi.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan, Fadhlil Wafi Nordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.

"Kita akan pantau keadaan ini sehingga air surut untuk membolehkan jalan ini dibuka semula kepada kenderaan," katanya.

1661 dibaca
Berita Harian X