Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:53pm
ANGGOTA bomba dan penyelamat Tumpat bertungkus lumus memadamkan api kebakaran sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
AHLI keluarga mangsa memeriksa sebuah kereta yang hangus dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dua rumah terbakar angkara petir

TUMPAT: Dua rumah terbakar akibat dipanah petir dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu disedari seorang penduduk, Esah Mohd Yusof, 66, yang ketika itu sedang mengajar mengaji al-Quran di rumahnya.

"Tiba-tiba kedengaran bunyi petir yang sangat kuat di luar rumah. Saya bergegas menutup tingkap dan pintu rumah kerana risaukan keselamatan empat cucu yang sedang mengaji.

"Selepas dentuman petir itu, tidak lama kemudian, seorang cucu menjerit ternampak api sedang membakar rumah jiran sebelah, sebelum saya bergegas meninjau sebelum ternampak api sedang marak," katanya yang kemudian segera membawa semua cucunya keluar menyelamatkan diri.

Dalam tempoh yang singkat, kebakaran rumah bersebelahan itu merebak ke rumah Esah hingga menyebabkan dua motosikal milik anaknya turut hangus, selain sebahagian dinding rumahnya serta sebuah enjin yang digunakan untuk mengepam air turut terbakar.

Kejadian itu menyebabkan rumah milik Azizah Aziz, 58, yang didiami bersama adik lelakinya, Azri Aziz, 44, serta cucu saudara berusia 14 tahun hangus sepenuhnya termasuk sebuah kereta jenis Proton Saga.

Ketika kejadian semua penghuni tiada di rumah dan kebakaran disedari Azri yang ketika itu berada di sebuah madrasah kira-kira 200 meter dari situ.

"Saya ternampak kepulan asap yang sangat tebal dan berasa tidak sedap hati sebelum bergegas pulang dan alangkah terkejutnya sebaik mendapati rumah terbakar.

"Saya sempat masuk ke dalam rumah melalui bahagian dapur dan mengambil telefon bimbit serta dompet sebelum segera keluar kerana keadaan semakin membahang," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.46 petang dan tiba bersama 14 anggota sembilan minit kemudian.

"Ketika sampai api sedang marak dan 80 peratus rumah sudah terbakar. Api dapat dikawal dalam masa 10 minit," katanya sambil memberitahu punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

413 dibaca
Berita Harian X