Rabu, 6 September 2017 | 3:41pm
ZAMRI Jusoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas 11 pertuduhan rasuah berjumlah RM23,100, tiga tahun lalu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Penyelia stor dituduh 'makan suap' RM23,100

KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia stor Ladang Ketengah Perwira Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan rasuah berjumlah RM23,100, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zamri Jusoh, 55, membuat pengakuan itu setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 11, tertuduh didakwa menerima wang daripada pemilik syarikat pembekal barangan alat ganti dan baja, TP Parts & Machinery, Tham Mun Hing, sebagai upah untuk melakukan perakuan terhadap beberapa dokumen pembekalan.

Wang suapan itu diterima tertuduh melalui akaun bank milik isterinya, Siti Noor Hiddayah Deraman.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ladang Ketengah Perwira Sdn Bhd, Kemaman, antara 13 Mei 2015 hingga 25 Disember tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Zamri diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu supaya wang jaminan dikurangkan.

Rofiah menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

737 dibaca
Berita Harian X