Rabu, 13 September 2017 | 1:35pm
LOO Peng Wah, 50, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh dengan lima pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM363,769 bermula Januari hingga Mei 2016. - Foto L Manimaran

Ahli perniagaan didakwa tuntutan palsu GST

IPOH: Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini menghadapi tujuh tuduhan tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), hari ini menghadapi lima lagi tuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Loo Peng Wah, 50, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan keseluruhan tuntutan berkenaan berjumlah RM363,769 bagi tempoh bercukai antara Disember 2015 hingga April tahun lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Stesen Ipoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Tun Abdul Razak, di sini, antara 8 Januari hingga 8 Mei tahun lalu.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda dan maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan, jika sabit kesalahan.

Murtazadi membenarkan jaminan keseluruhan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 12 Oktober depan.

Beliau juga memerintahkan pasport tertuduh diserahkan ke mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap minggu pertama setiap bulan di mana-mana pejabat JKDM terdekat.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Safwan Fathy Yahaya manakala tertuduh diwakili oleh Manjeet Kaur dan Dalgit Singh.

Pada 30 Ogos lalu, tertuduh sama didakwa terhadap tujuh tuduhan serupa manakala isterinya, Ng Lee Foon, 45, didakwa empat tuduhan membabitkan jumlah tuntutan palsu keseluruhan RM745,838.

322 dibaca
Berita Harian X