Rabu, 13 September 2017 | 2:26pm
MOHD Mokhtar (tengah) menunjukkan gambar barang rampasan ketika sidang media berikutan kejayaaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. - Foto Asyraf Hamzah

Dadah RM5 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Tiga sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah tumpas dalam tiga operasi berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Kedah, Kelantan dan ibu negara mulai kelmarin hingga semalam.

Dalam operasi yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) itu, pelbagai jenis dadah seperti syabu, ganja, pil yaba, pil Eramin 5 dan kokain bernilai lebih RM5.3 juta yang dianggar boleh merosakkan 500,000 individu dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kejayaan ketiga-tiga operasi berkenaan adalah susulan tindakan ke atas sindiket dadah sebelum ini selain perkongsian maklumat dengan pihak antarabangsa.

"Dalam operasi pertama di Changlun, Kedah, JSJN menahan dua lelaki berusia 36 dan 42 tahun serta merampas 88 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 87.4 kilogram (kg).

"Operasi kedua semalam di sekitar Pasir Puteh, Pasir Mas dan Rantau Panjang membawa kepada penangkapan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 42 tahun," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui dan merampas syabu seberat 66.34 kilogram serta 36 biji pil yaba dan Eramin 5 dianggar bernilai RM5 juta dalam operasi semalam.

Mokhtar berkata, dalam operasi ketiga, pihaknya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 36 dan 38 tahun selain merampas dadah ganja seberat 1.2 kg dan kokain seberat 263 gram.

"Penangkapan dua lelaki warga Nigeria ini adalah berdasarkan perkongsian maklumat dan kerjasama antara JSJN dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) berpangkalan di Amerika Syarikat," katanya.

Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

1042 dibaca
Berita Harian X