Rabu, 13 September 2017 | 3:28pm
DATUK Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff bercakap ketika sidang media berikutan kejayaaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. - Foto Asyraf Hamzah

Dadah RM548.19 juta dirampas sejak 2015

 

KUALA LUMPUR: Dadah syabu, ganja dan pil eramin five direkodkan sebagai dadah paling banyak yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dalam serbuan di seluruh negara sejak tahun 2015 hingga Julai lalu.

Dalam tempoh berkenaan JSJN merampas lebih 5,000 kilogram (kg) dadah syabu, 5,464 kg ganja serta 2,657,515 biji pil eramin five hasil usaha komited JSJN dalam memerangi penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Mohd Shariff, berkata sepanjang tempoh sama juga pihaknya menahan 468,879 rakyat tempatan dan 19,612 warga asing yang terbabit dengan dadah.

"JSJN bertindak menggandakan usaha dengan melancarkan pelbagai jenis operasi sehingga memberikan impak besar kepada sindiket dadah susulan saranan kerajaan untuk memerangi dadah secara habis-habisan tahun lalu.

"Tindakan yang dilakukan itu meliputi serbuan dan pemeriksaan di darat, laut serta pintu masuk udara bagi mengekang sebarang tindakan menyeludup dadah, transit dadah ke negara ketiga serta pemprosesan dadah," katanya di Bukit Aman, tengah hari tadi.

Beliau berkata, dalam semua serbuan berkenaan, jumlah harta milik sindiket dadah yang disita adalah berjumlah RM258,35 juta serta nilai harta yang dilucut hak berjumlah RM29.31 juta.

"Kita juga turut berjaya membongkar 76 makmal haram yang dijadikan pusat pemprosesan dadah dan menahan 307 orang yang dipercayai memainkan peranan sebagai tukang masak, pembungkus, penghantar dan ahli kimia.

"Selain itu seramai 2,720 orang yang didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya, turut dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan ditempatkan di Penjara Muar, Johor," katanya.

Sidang akhbar berkenaan adalah yang terakhir dibuat oleh Mokhtar selaku Pengarah JSJS sebelum mengambil alih jawatan Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman, bermula lusa.

 

216 dibaca
Berita Harian X