Rabu, 13 September 2017 | 5:30pm

SPRM tahan jurutera minta suapan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan jurutera bahagian perancangan sebuah syarikat utiliti di Shah Alam kerana disyaki meminta RM32,000 daripada seorang pelanggan.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di perkarangan tempat letak kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kira-kira jam 3 petang tadi.

Difahamkan, suspek meminta RM32,000 daripada seorang pelanggan bagi mempercepatkan permohonan kelulusan bagi kerja menaik taraf bekalan utiliti sebuah kilang pada Disember 2016.

Pengadu didakwa sudah membayar RM15,000 kepada suspek kerana bimbang permohonannya tidak diluluskan kerana tiada maklum balas selepas hampir dua bulan dihantar.

Selepas enam bulan tanpa maklum balas, mangsa dihubungi oleh suspek yang meminta bayaran baki RM25,000 bagi menyelesaikan proses permohonan dengan pihak berkuasa tempatan supaya tidak disaman serta tujuan pengeluaran permit.

Mangsa kemudian membuat laporan kepada SPRM yang mendorong kepada penahanan suspek.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan suspek akan direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) ASPRM 2009.

1492 dibaca
Berita Harian X