Rabu, 13 September 2017 | 7:51pm

SPRM fokus banteras judi haram - Dzulkifli

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) optimis untuk membanteras kegiatan judi haram, termasuk mengambil tindakan agresif kepada penjawat awam yang melindungi sindiket itu serta pihak yang mengendalikan kegiatan terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata isu 'tangan ghaib' yang melindungi kegiatan judi haram itu bukanlah satu perkara baharu dan sudah tiba masanya SPRM melihat perkara berkenaan dengan lebih serius.

Katanya, penjawat awam seharusnya menjalankan tugas untuk membanteras kegiatan itu dan bukannya menerima rasuah seterusnya melindungi pesalah.

"Hari ini saya menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH), di mana mereka menyatakan sokongan kepada SPRM bagi membanteras kegiatan terbabit.

"Maklumat yang diterima daripada GBAH ini akan dikaji sebelum tindakan sewajarnya akan diambil. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perbincangan bersama NGO ini dan hal judi haram ini banyak membabitkan orang Islam sendiri yang secara tidak langsung memberi kesan besar kepada masalah sosial dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Pengerusi GBAH, Marsridzi Sat di bangunan SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, Marsridzi berkata, beliau sudah 30 tahun membantu pihak penguatkuasa menjalankan operasi di pusat judi haram.

"Sebagai pemerhati, sudah banyak kali kami melihat cara penjawat awam bekerja, setiap kali operasi dijalankan mesti ada maklumat bocor. Ada juga makin diserbu, makin bertambah pusat judi haram.

"Kita rasa sangat dukacita bila terjadinya perkara terbabit kerana kita cuma mengharapkan penguatkuasa untuk menyelesaikan masalah berkenaan tetapi sebagai pemegang amanah yang berkuasa, mereka khianati dan terus melindungi pusat terbabit.

"Diharapkan dengan kerjasama bersama pihak SPRM ini, masalah ini tidak akan terjadi lagi," katanya.

397 dibaca
TAN Sri Dzulkifli Ahmad menerima memorandum sokongan kerjasama daripada Pengerusi GBAH, Masridzi Sat (dua dari kanan) selepas perjumpaan SPRM dengan Gerakan Benteras Aktiviti Haram (GBAH) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. -Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X