Jumaat, 13 Oktober 2017 | 2:21pm
KEMALANGAN maut membabitkan dua anggota polis trafik di Kemaman, Terengganu, semalam. - Foto ihsan pembaca

Siasat punca kemalangan anggota: KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mencari punca sebenar kemalangan maut membabitkan dua anggota polis trafik di Kemaman, Terengganu, semalam.

Ia termasuk kemungkinan kemungkinan berlaku kelemahan pada Prosedur Standard Operasi (SOP) konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat yang disertai mangsa ketika kemalangan.

"Kejadian ini menyedihkan. Pelaksanaan dari segi SOP mungkin ada kelemahan di sana sini.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Terengganu melihat perkara ini supaya kejadian tidak berulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Selain dua anggota masing-masing berpangkat Sarjan Mejar dan Koperal meninggal dunia dalam kemalangan itu, beberapa peserta konvoi turut dilaporkan tercedera.

Semalam, dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis daerah Dungun maut, selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Teluk Kalung.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang itu, sebuah lori kecil dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal jenis CBX 750 ditunggang mangsa.

Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal I Suresh, 36, yang tercampak ke atas jalan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, dua anggota trafik itu bersama tujuh pegawai dan 18 anggota trafik lain yang menyertai konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat dari Mersing, Johor dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.

1186 dibaca
Berita Harian X